Bajet Perak 2018 Mesra Rakyat - PAS
IPOH, 22 Nov (Bernama) -- PAS Perak menyifatkan Bajet negeri 2018 berjumlah RM1.17 bilion yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam sebagai bajet mesra rakyat.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Radzi Zainon berkata rakyat daripada semua lapisan masyarakat memperoleh banyak manfaat daripada bajet tersebut.
"Bajet 2018 memberi faedah kepada semua kategori antaranya menambah peruntukan yang diberikan oleh Persekutuan kepada imam dan bilal," katanya dalam sidang media di luar Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Radzi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat berkata pihaknya turut mengemukakan beberapa perkara untuk pertimbangan kerajaan negeri sebagai usaha menambah baik bajet berkenaan antaranya pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan rakyat.
Semalam, Zambry membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM1.17 bilion dengan menggariskan lima fokus utama bagi memastikan pembangunan dan pengupayaan ekonomi rakyat terus dilaksana.
Daripada keseluruhan bajet itu, sebanyak RM755.59 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM421.28 juta bagi perbelanjaan pembangunan.
Menerusi Bajet tersebut, kerajaan Perak juga memberi bantuan khas kewangan sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam negeri melibatkan peruntukan hampir RM22 juta.
Kesemua guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), takmir, imam, bilal, siak, ketua kampung dan tok batin yang memperoleh bantuan khas RM1,500 daripada kerajaan Persekutuan sebagaimana diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 akan menerima tambahan RM500 lagi daripada kerajaan negeri menjadikan jumlah yang diterima mereka sebanyak RM2,000.
-- BERNAMA