Sabah Optimistik Kadar Kemiskinan Turun Ke Paras Satu Peratus
KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah optimistik kadar kemiskinan di negeri ini dapat dikurangkan ke paras satu peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Menterinya Datuk Radin Malleh berkata keyakinan itu berikutan penurunan kadar kemiskinan yang ketara dalam tempoh dua tahun iaitu empat peratus pada 2014 kepada 2.9 peratus pada 2016.
"Perancangan dan pelaksanaan yang teratur dan berkesan, kesungguhan, komitmen, usaha yang berterusan tanpa mengenal penat lelah serta hubungan rapat kerajaan negeri dan kerajaan pusat memberikan hasil positif dan manfaat banyak kepada rakyat di Sabah.
"Dalam pada itu, pelbagai program transformasi yang dilaksanakan telah memperlihatkan lebih banyak isi rumah, khususnya di Sabah, keluar dari belenggu kemiskinan," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Radin berkata biarpun pembangkang akan terus mendakwa kadar kemiskinan di negeri ini masih tertinggi di Malaysia, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di negeri ini.
Untuk itu, beliau berkata program pembasmian kemiskinan seperti Mini Estet Sejahtera (Mesej) akan dapat mengurangkan lagi insiden kemiskinan, khususnya kemiskinan tegar di negeri ini.
Beliau berkata kementeriannya akan membelanjakan peruntukan RM18.5 juta untuk tahun depan dengan menambah baik dan meningkatkan kapasiti di beberapa Mesej yang dikenal pasti, selain melaksanakan aktiviti di bawah Program Peningkatan Ekonomi Setempat dan Pembangunan Modal Insan.
Di samping itu, Radin berkata kementeriannya akan terus melaksanakan pembinaan rumah bina baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Bagi tempoh 2010-2017, beliau berkata sebanyak 11,825 rumah bina baharu telah disiapkan dengan reka bentuk rumah diubah suai pada tahun ini bagi membolehkan kumpulan sasar mendiami rumah lebih selamat dan selesa.
-- BERNAMA