Sidang DUN Pahang Tegang Gara-gara Isu Arak




KUANTAN, 22 Nov (Bernama) -- Sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) Pahang hari ini menjadi tegang gara-gara isu minum arak yang dikaitkan dengan bencana termasuk banjir.

Ketegangan tercetus antara Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Tengku Zulpuri Shah Tengku Raja Puji (DAP-Mentakab), memaksa Yang Dipertua DUN Datuk Seri Ishak Muhamad menangguhkan seketika persidangan sehingga 3 petang setelah diminta oleh Adnan.

Pertikaman lidah bermula apabila Tengku Zulpuri Shah memaklumkan kepada anggota dewan bahawa kejadian banjir yang melanda kawasannya baru-baru ini disebabkan sistem perparitan tidak sempurna, bukan kerana pesta arak.

"...tidak ada pesta arak secara terbuka di kawasan berkenaan sebelum itu," katanya yang dipercayai menyindir kenyataan yang dibuat oleh Adnan sebelum ini yang mengaitkan kejadian banjir di Pulau Pinang akibat pesta arak secara terbuka.

Kenyataan itu menyebabkan Adnan bangun mencelah bertanyakan 'Siapa yang menjadikan ribut dan taufan' namun tidak diendahkan oleh Tengku Zulpuri Shah yang memberitahu persidangan Jeddah juga dilanda banjir walaupun tidak ada pesta arak.

Kenyataan itu menyebabkan keadaan semakin panas dengan kedua-dua pihak saling berbalas hujah.

"Kita cakap pasal agama... itu sinikal... saya yang panas hati sebab dia hina agama, hina Allah apabila kata Jeddah juga banjir walaupun tidak ada pesta arak," kata Adnan.

Beliau kemudian memohon speaker menangguhkan seketika persidangan dewan sebelum dibenarkan oleh Ishak untuk meredakan keadaan.

Pada hari pertama persidangan Isnin lalu, Adnan mengaitkan kejadian banjir besar di Pulau Pinang baru-baru ini berpunca daripada penganjuran pesta arak dan beliau mengatakan ia merupakan satu ingatan serta bala daripada Allah.

Kenyataan itu mendapat bantahan daripada beberapa wakil pembangkang termasuk Leong Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) yang meminta agar bencana berkenaan tidak dikaitkan dengan pesta tersebut.

-- BERNAMA