Kerajaan Persekutuan Salur RM3 Juta Bantu Nelayan, Pengusaha Ikan Ternak Terjejas Banjir




BATU KAWAN, 23 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menyalurkan peruntukan lebih RM3 juta untuk sektor perikanan Pulau Pinang yang terjejas dengan bencana banjir baru-baru ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sejumlah RM930,000 daripada peruntukan itu akan diberi kepada lebih 280 orang nelayan dan penternak ikan yang terkesan manakala RM2 juta lagi diperuntukkan bagi membaik pulih infrastruktur perikanan yang rosak akibat bencana itu.

Beliau berkata pihaknya diberitahu bahawa sebanyak 28 laporan kerugian atau kerosakan harta benda dikumpulkan dengan jumlah kerugian bernilai RM43 juta.

"Laporan Jabatan Perikanan Malaysia untuk segmen penternakan ikan atau akuakultur menunjukkan kawasan yang terjejas ialah di daerah Seberang Perai; Barat Daya; dan Timur Laut, melibatkan sejumlah 164 orang pengusaha, 4,300 sangkar dan 407 kolam ternakan," katanya selepas majlis penyerahan bantuan ihsan kepada nelayan dan penternak ikan terkesan banjir dan ribut di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Perikanan Malaysia juga akan menyalurkan bantuan berupa benih ikan, makanan ikan, peralatan dan kerja-kerja pembaikan dengan kadar bantuan RM1,500 hingga RM2,500 setiap seorang.

"Bantuan yang dianggarkan berjumlah RM500,000 ini akan disalurkan sejurus keadaan pulih, mengikut taksiran teknikal dan kesesuaian ternakan," kata Ahmad Shabery.

Beliau berkata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia juga memperuntukkan sejumlah RM80,000 bagi membaiki sangkar ternakan dan pondok ikan Persatuan Nelayan Kawasan Seberang Perai.

Bagi segmen perikanan tangkapan, Ahmad Shabery berkata seramai 119 orang nelayan Pulau Pinang dilaporkan terkesan dengan banjir dan air pasang besar, melibatkan lima jeti, 30 rumah dan 99 sampan.

"Kerosakan juga telah berlaku ke atas infrastruktur Kompleks Perikanan Teluk Bahang dan Hotel Persatuan Nelayan Kawasan Seberang Perai.

"Oleh itu, bantuan ihsan berjumlah RM50,000 secara tunai akan diberikan oleh LKIM kepada mangsa, mengikut kadar yang ditetapkan," katanya.

Terdahulu, Ahmad Shabery bersama Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah dan Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan melawat nelayan dan pengusaha ikan di Pulau Aman yang terjejas akibat bencana banjir 5 Nov lepas.

-- BERNAMA