DUN Johor Sembah Ucapan Tahniah Sempena Hari Keputeraan Sultan Ibrahim
ISKANDAR PUTERI, 23 Nov (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri Johor hari ini merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sempena hari keputeraan baginda, semalam.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menzahirkan ucapan itu sebelum membentangkan Bajet Johor 2018 yang bertemakan 'Bajet Johor 2018: Membangun Dekad Baharu Yang Sejahtera Untuk Johor' di Dewan Undangan Negeri Johor, Kota Iskandar, di sini.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mewakili kerajaan negeri, rakan-rakan Yang Berhormat serta seluruh warga Johor untuk merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 Nov 2017.
Marilah kita semua, menitipkan doa paling tulus dan ikhlas. Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta seluruh keluarga diraja akan terus diberkati, dirahmati serta diberikan segala kelebihan untuk terus menaungi negeri Johor ini dengan adil dan bijaksana," kata beliau.
Mohamed Khaled turut merakamkan ucapan tahniah kerajaan negeri dan seluruh warga Johor kepada pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) atas kemenangan besar menjulang Piala Malaysia, baru-baru ini.
Beliau berkata adalah diharapkan kemenangan JDT itu akan menjadi dorongan kepada pasukan Johor dalam acara sukan lain agar negeri Johor menjadi kuasa sukan penting negara.
"Pastinya pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Johor amat berbangga dengan pencapaian tersebut. Marilah kita semua, terus mendoakan lebih banyak kejayaan dapat dicatatkan pada masa hadapan, insya-Allah," katanya.
-- BERNAMA