Ketua UMNO Pensiangan Dipilih Anggota Dewan Negara
KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini memilih Ketua UMNO Bahagian Pensiangan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin sebagai anggota Dewan Negara yang baharu.
Abdul Ghani, 55, menggantikan Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Kadzim M Yahya yang tamat perkhidmatannya sebagai senator pada 22 Dis depan selepas berkhidmat selama dua penggal.
Pencalonan Abdul Ghani pada persidangan DUN itu dibuat oleh Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan disokong oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Seramai 51 ADUN yang hadir sebulat suara mengundi Ketua UMNO Bahagian Pensiangan itu untuk berkhidmat sebagai anggota Dewan Negara selama tiga tahun atau satu penggal.
Ketika ditemui pemberita selepas penangguhan persidangan DUN, Abdul Ghani berterima kasih kepada Musa dan DUN kerana memilihnya untuk memikul tanggungjawab sebagai senator di Dewan Negara kelak.
"Saya akan menggunakan peluang ini untuk terus bekerja dan membangkitkan rintihan rakyat akar umbi, khususnya di kawasan pedalaman Sabah," katanya.
-- BERNAMA