Warga Emas Bersyukur UMNO Bantu Dapatkan Rumah PPR
NILAI, 25 Nov (Bernama) -- Hampir 20 anggota sebuah keluarga merangkumi tiga generasi di Felda LBJ, Labu, terpaksa tinggal di garaj dengan anak dan cucu terpaksa membaca buku di bawah lampu jalan setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran pada Mac 2015.
Rumah separuh batu dan separuh papan di Felda itu hangus dijilat api susulan litar pintas.
Kehilangan rumah peninggalan arwah suami yang didiami sejak 1968 dalam kebakaran itu menyebabkan Tumish Surmin, 69, dan empat anak serta cucu-cucunya hilang tempat berteduh dan tinggal sehelai sepinggang.
Mereka terpaksa berlindung di bawah sebuah garaj di atas tapak rumah tersebut yang sememangnya tidak sempurna untuk dijadikan tempat berteduh demi meneruskan kehidupan seharian.
"Kejadian itu terlalu pantas memusnahkan rumah jenis papan dan batu dan tiada apa yang dapat diselamatkan selain nyawa masing-masing.
"Selepas kejadian, kira-kira dua hari saya anak-beranak tinggal di rumah jiran sebelum saya buat keputusan untuk tinggal sahaja di garaj bersebelahan tapak rumah kami yang telah terbakar itu.
"Kami hidup bergantung pada lampu jalan dan tidur beramai-ramai yang pada ketika itu hampir 20 orang yang tinggal di bawah garaj berkenaan," kata Tumish ketika mengimbas kejadian itu.
Namun, dugaan itu akhirnya berakhir apabila Tumish diberikan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) hasil usaha dan bantuan daripada pihak UMNO dan Wanita UMNO bahagian Rasah termasuk Puteri UMNO Negeri Sembilan pada Julai tahun lepas.
Pembinaan rumah batu dengan tiga bilik dan satu bilik air di atas tapak rumah yang terbakar itu sudah cukup untuk membuatkan Tumish menarik nafas lega kerana akhirnya dia sekeluarga dapat hidup kembali seperti orang lain.
"Saya sangat bersyukur kerana dipermudahkan proses permohonan rumah PPR ini, itupun disebabkan usaha dan bantuan yang tidak putus-putus daripada pihak UMNO baik Wanita UMNO dan Puteri UMNO.
"Saya hanya menunggu kira-kira setahun sebelum rumah bantuan ini siap sepenuhnya yang mana saya rasa jika tiada pihak pemudah cara dalam urusan ini, sudah pasti lagi lama saya kena tunggu,\" katanya.
Tumish berkata bantuan yang diterimanya bukan setakat itu sahaja, bahkan pihak UMNO juga prihatin berhubung kebajikan dia sekeluarga dengan menyalurkan bantuan seperti barang keperluan harian termasuk pakaian.
"Pemimpin dan anggota UMNO yang lain tidak putus-putus salurkan bantuan kepada kami sekeluarga yang ternyata memberi kami sedikit sebanyak semangat untuk menjalani kehidupan,\" katanya.
-- BERNAMA