Ziarah Kasih Puteri UMNO Sandakan Bantu Wanita Muda Kurang Berkemampuan




Oleh Saloziah Zali

SANDAKAN, 26 Nov (Bernama) -- Beras, minyak masak, teh dan gula merupakan bahan makanan yang sangat bermakna diterima oleh peniaga kuih Sumarni Alimuddin.

Sumarni, 28, dari Kampung Forest di sini adalah antara penerima sumbangan barang keperluan dapur untuk wanita muda daripada keluarga kurang berkemampuan di bawah Program Ziarah Kasih Puteri Peduli 2.0 baru-baru ini.

"Saya tidak bekerja dan ayah pula sudah meninggal dunia. Kami hidup hasil jualan ibu menjual kuih di depan rumah pada waktu pagi dan pendapatan seharian tidak begitu menggalakkan," katanya kepada Bernama.

Katanya sumbangan barang-barang keperluan dapur itu dapat meringankan beban yang ditanggung dia dan ibunya.

"Saya berharap program ziarah kasih ini dapat dilanjutkan sehingga ke masa akan datang agar dapat memberi manfaat kepada golongan yang kurang berkemampuan seperti saya," katanya.

Program itu dilaksanakan oleh Puteri UMNO Sandakan dan sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Ketuanya Siti Haiba Abdul Majid.

Menurut Sumarni, ini merupakan kunjungan kedua Puteri UMNO Sandakan ke rumahnya selepas Jun lepas ketika mereka menyampaikan sumbangan keperluan Aidilfitri kepada adiknya yang berusia 12 tahun.

Seorang lagi penerima, Arni Running, 22, dari Kampung Sim-Sim, berkata sumbangan yang diberikan menerusi program itu sangat bermakna buat dia dan keluarganya.

"Saya tidak bekerja dan suami pula hanya bekerja di sebuah kedai perabot sebab itu bantuan ini sangat saya hargai kerana membantu kami keluarga dari segi keperluan barangan dapur, katanya.

Dalam pada itu, Siti Haiba berkata program Ziarah Kasih Puteri Peduli 2.0 dilaksanakan di beberapa buah kampung di sekitar Sandakan antaranya di Kampung Sim Sim, Kampung Forest dan Tinusa.

Beliau berkata program itu adalah kali kedua dilaksanakan pada tahun ini dengan yang pertama pada Februari lepas.

Siti Haiba berkata pihaknya memilih 60 nama penerima yang berdaftar dalam E-Kasih iaitu sistem pangkalan data keluarga yang berada di bawah paras kemiskinan.

Sejumlah 30 penerima menerima bantuan menerusi pelaksanaan program itu pada Februari lepas dan 30 lagi pada bulan ini, katanya.

Selain Program Ziarah Kasih, Puteri UMNO Sandakan juga melaksanakan program lain yang berasaskan kemahiran dan bantuan persekolahan seperti bengkel jahitan dan solekan dengan yuran pendaftaran percuma bagi membantu beliawanis meningkatkan kemahiran sekali gus menjana pendapatan.

Siti Haiba berkata Disember ini pihaknya akan melaksanakan program 'Back To School' untuk meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan pakaian dan peralatan sekolah.

-- BERNAMA