Subsidi Ujian Mamogram Dan Vaksinasi HPV Tetap Diteruskan
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memastikan program subsidi ujian mamogram dan suntikan vaksin Human Papilloma Virus (HPV) diteruskan meskipun tidak mempunyai peruntukan khusus dalam Bajet 2018, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata program bagi mengesan kanser payudara dan kanser serviks itu sememangnya memberi manfaat khususnya golongan sasar iaitu golongan B40 yang merupakan 80 peratus penerima subsidi.
"Kita akan menggunakan wang yang ada dan memohon lagi dengan Kementerian Kewangan dan kita yakin ia akan diteruskan kerana kerajaan Barisan Nasional prihatin terhadap wanita dan di bawah Kementerian Kesihatan juga ada program ini," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan meneruskan program subsidi ujian mamogram dan vaksinasi HPV memandangkan tiada peruntukan khas.
Katanya, sejak 2013 hingga tahun ini, sebanyak RM41.167 juta telah dibelanjakan oleh kementeriannya untuk subsidi mamogram dan seramai 225,828 wanita telah mendapat manfaat di seluruh negara.
"Untuk vaksinasi HPV pula, sebanyak RM42,638 juta telah dibelanjakan dari 2013 hingga tahun ini dan seramai 265,830 wanita telah mendapat manfaat," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai keberkesanan program ujian mamogram, Azizah berkata daripada 329,349 wanita yang menjalani ujian itu, 532 daripadanya disahkan mengidap kanser payudara.
"Kita dapat mengesan penyakit mereka lebih awal, dan rawatan awal juga dapat dijalankan," katanya.
-- BERNAMA