Puteri UMNO Sediakan Tuisyen Percuma Untuk 900 Pelajar
NILAI, 27 Nov (Bernama) -- Sejak awal tahun lagi, Mohd Afiq Hayat Ahmad Yazid sudah terbayang cabarannya hendak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tanpa tuisyen memandangkan keluarganya hidup susah.
Ketika ini, Mohd Afiq Hayat, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haji Mohd Redza di sini sedang menduduki peperiksaan tersebut dengan lapang dada dan persediaan yang mencukupi, terima kasih kepada tuisyen percuma yang dianjurkan Puteri UMNO negeri ini.
Beliau menyifatkan program itu terlalu bermanfaat apatah lagi dalam keadaan ketidakmampuan keluarga untuk menghantarnya mengikuti tuisyen swasta.
Katanya, program itu memang tiba tepat pada masanya tatkala ekonomi keluarganya yang ketika ini tidak begitu baik.
"Ayah saya dahulu bekerja dalam bidang minyak dan gas, namun kerana ada beberapa masalah ayah terpaksa berhenti kerja dan ibu pula suri rumah.
"Jadi, program ini memang sangat bagus apatah lagi bagi orang macam saya yang memang tidak mampu untuk ikuti tuisyen di luar, dengan adik saya lagi tahun ini turut menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3. Jadi memang mustahil bagi kami untuk dapatkan tuisyen luar selain hanya bergantung pada kelas tambahan di sekolah sahaja," kata Mohd Afiq Hayat.
Beliau yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik itu turut berasa gembira apabila sepanjang program itu berlangsung, bukan sahaja bahan pelajaran bahkan makanan turut disediakan secara percuma.
Muhammad Ikhwan Esamuddin, 17, berkata program itu bukan sahaja meringankan bebanan keluarga tetapi turut membantu dalam menjawab kertas peperiksaan.
"Saya amat teruja ketika dipilih untuk mengikuti program ini kerana tahu keluarga kurang berkemampuan untuk hantar saya tuisyen di luar, jadi memang saya gunakan program ini sebaik mungkin untuk mengulang kaji pelajaran dan ternyata ia bukanlah program yang sia-sia memandangkan apa yang telah diajar sepanjang tuisyen ini, banyak membantu saya ketika menjawab soalan.
"Jadi saya rasa, ia perlu diteruskan pada masa akan datang kerana tenaga pengajar yang dibekalkan juga merupakan guru pakar dalam subjek berkenaan dan mereka sangat arif dalam menarik perhatian kami untuk fokus dengan apa yang diajarkannya sekali gus menguasai silibus penting," kata anak sulung daripada lima beradik itu.
Kedua-dua mereka adalah antara 900 pelajar terpilih bagi mengikuti program yang dijalankan Puteri Umno dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Mara YPM di seluruh negeri ini.
Program yang berlangsung sejak Ogos dan berakhir 6 Nov lepas itu menawarkan empat subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah dan disasarkan kepada pelajar yang mempunyai prestasi pendidikan sederhana dan daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
Ketua Puteri UMNO Negeri Sembilan Zuliana Mohd Ridzuan berkata program itu dibiayai sepenuhnya oleh YPM termasuk bagi kos bahan pembelajaran, bayaran kepada guru-guru dan program yang berkaitan.
Pemilihan guru pula dibuat dengan bantuan Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah yang terbabit dengan mengutamakan guru-guru pakar dalam subjek terpilih, katanya.
Beliau berkata mereka lebih menekankan program yang dibuat pada peringkat bahagian dan cawangan bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan sampai kepada golongan sasar.
"Sebagai sayap yang paling bongsu, kami jadikan diri kami sebagai jambatan atau penghubung masyarakat setempat dengan agensi kerajaan atau kerajaan negeri dalam membantu mendapatkan sebarang bantuan atau menjadi pemudah cara kepada mereka yang memerlukan, mendapatkan sebarang bantuan dan perkhidmatan," katanya.
Selain tuisyen percuma, Zuliana berkata program pendidikan lain yang dianjurkan pergerakan itu meliputi Jelajah Pendidikan Bumiputera dan Kembara Ilmu.
Puteri UMNO negeri juga mengadakan Program Puteri Peduli bagi menyampaikan barangan makanan kepada golongan memerlukan.
Antara lain, Puteri UMNO juga dilihat peka dengan isu berkaitan kerjaya melalui program Karnival Kerjaya dan dalam usaha meningkatkan sumber pendapatan, selain mengadakan karnival usahawan yang dilaksanakan bagi memberi peluang kepada usahawan memasarkan dan memperkenalkan barangan jualan mereka.
Zuliana berkata program seperti itu dilihat serba sedikit memberikan impak kepada rakyat sendiri apabila banyak bantuan yang dapat disalurkan dan masalah yang membelenggu mereka juga dapat diungkaikan dan dibawa kepada pengetahuan kerajaan negeri atau agensi yang berkenaan.
-- BERNAMA