Parlimen: RM10 Juta Diperuntukkan Untuk Penyelenggaraan Segera Fasiliti Di Pusat Pemindahan Banjir




KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan menyalurkan RM10 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi kerja-kerja penyelenggaraan segera fasiliti di pusat pemindahan banjir, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata justeru, pihaknya menggesa pemimpin kawasan untuk melaporkan segera kepada NADMA sekiranya terdapat sebarang penambahbaikan dan penyelenggaran segera yang diperlukan untuk keselesaan mangsa banjir.

"Perkara berkaitan fasiliti terutamanya tandas menjadi perkara yang diambil berat oleh NADMA dan sekarang Nadma dalam proses melaksanakan penyelenggaraan dan pembinaan tandas serta bilik mandi tambahan mengikut keperluan di pusat-pusat pemindahan.

"NADMA juga telah mewujudkan Pasukan Sokongan Kecemasan bagi melihat fasiliti di pusat pemindahan di seluruh negara sejak dua minggu lalu," katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang ingin tahu langkah yang diambil kerajaan dalam menyediakan fasiliti yang baik di pusat pemindahan banjir.

Asyraf Wajdi berkata sehingga kini terdapat 5,433 pusat pemindahan banjir disenaraikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dapat menampung sehingga dua juta mangsa banjir di seluruh negara.

-- BERNAMA