Sebanyak RM6.48 Juta Diperuntukkan Bagi Kos Tambah Baik Fasiliti Sekolah Daif




SEREMBAN, 28 Nov (Bernama) -- Dalam usaha menambah baik fasiliti dan infrastruktur sekolah yang dikategorikan sebagai daif, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan memperuntukkan sejumlah RM6.48 juta bagi projek menggantikan bangunan baharu melibatkan lima buah sekolah rendah di Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata lima sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Nuri, Kuala Pilah, SK Pedas, Rembau, SK Pasir Besar, Tampin, SK Senawang, Seremban dan SK Datuk Undang Abdullah, Jelebu.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini bagi menjawab soalan Abu Samah Mahat (BN-Johol) yang ingin tahu langkah-langkah jitu yang dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi permasalahan dihadapi sekolah luar bandar yang kekurangan tenaga pengajar dan keadaan fasiliti yang daif.

Shamsulkahar berkata selain itu, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan turut membantu sekolah luar bandar yang memerlukan pembaikan pagar di bawah Projek Penambaikan dan Penyelenggaraan Khas.

"Beberapa buah sekolah di Johol terlibat iaitu SK Dato' Inas dengan kos RM28,200, SK Undang Kamat RM15,000, Sekolah Menengah (SM) Agama Johol RM65,800 dan SM Agama Sains Kuala Pilah RM20,000," katanya.

Mengenai masalah kekurangan tenaga pengajar, Shamsulkahar berkata beberapa tindakan sewajarnya bagi mengatasi isu kekurangan guru di sekolah luar bandar.

"Antaranya penempatan semula di mana pihak sektor pengurusan sekolah di jabatan pendidikan negeri Sembilan dan pejabat pendidikan daerah membuat semakan analisis data keperluan guru serta pengisian semasa guru di sekolah. Berdasarkan semakan ini, guru-guru ditempatkan semula mengikut keperluan opsyen semasa di sekolah," katanya.

-- BERNAMA