Kolej Pendidikan Pertanian Dicadang Diwujudkan Di Segamat




ISKANDAR PUTERI, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor dicadang membangunkan sebuah institut atau kolej pendidikan pertanian di Segamat bagi melatih dan menyediakan tenaga kerja dalam bidang berkenaan secara menyeluruh.

Norshida Ibrahim (BN-Buloh Kasap) berkata sejajar dengan Segamat dipilih untuk dibangunkan sebagai hab pertanian Johor, pembinaan kolej pendidikan pertanian itu akan dapat menyediakan silibus pendidikan pertanian meliputi aspek penyelidikan, teknologi, keusahawanan dan kemahiran buruh pertanian.

"Pada hari ini, sektor pertanian di Johor didapati hanya melibatkan tenaga kerja tidak mahir yang menyebabkan teknologi pertanian sedia ada tidak dimanfaat sepenuhnya."

"Manfaat daripada terbinanya institut atau kolej pendidikan pertanian ini, maka, segala penyelidikan dan pembangunan dalam sektor pertanian akan dijalankan institut ini yang berpusat di daerah Segamat," katanya ketika membahaskan ucapan Bajet Johor 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Norshida berkata buat permulaan, institut atau kolej pendidikan pertanian itu boleh ditempatkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, sekali gus diyakini akan mempercepat dan merancakkan sektor pertanian negeri ini.

Beliau berkata kewujudan institut atau kolej pendidikan pertanian itu juga akan menjadi pendekatan bagi memastikan industri pertanian sebagai pilihan pekerjaan dalam kalangan masyarakat dan bukannya sekadar pilihan terakhir.

"Ini bermakna, aktiviti pertanian dijalankan dengan lebih serius berdasarkan ilmu-ilmu bersesuaian. Aktiviti pertanian juga akan berpindah dari status pertanian tradisi kepada satu pekerjaan yang lebih sistematik," katanya.

Dalam pada itu, Norshida turut menyarankan supaya sebuah pusat hentian diwujudkan di Taman Yayasan dekat Segamat, bagi menawarkan jualan produk dan hasil pertanian dari daerah itu.

Beliau berkata kewujudan pusat sehenti tersebut akan menjadikan Segamat sebagai kawasan persinggahan dan pasti memberi impak ekonomi kepada masyarakat setempat.

Katanya hentian berkenaan wajar dibina di Taman Yayasan kerana kawasan itu bakal menjadi bandar kedua di Segamat, selain kedudukannya yang strategik menjadi laluan pengguna yang datang ke Johor dari Pahang dan Negeri Sembilan melalui sempadan Segamat.

"Paling utama, disediakan tempat menikmati buah-buahan yang menjadi lokasi Pesta Makan Buah-Buahan Tanpa Musim di negeri ini, memandangkan Segamat merupakan 'tanah raja buah-buahan', dan durian Segamat sememangnya cukup dikenali yang boleh memberi nilai komersial kepada agro pelancongan Johor.

"Ini juga akan menjadi daya penarik kepada pelabur untuk hadir ke daerah ini dan membantu membangunkan Segamat ke tahap lebih maju," katanya.

-- BERNAMA