KPM Luluskan 11,606 Permohonan Guru "Duka Lara"




Datuk Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan meluluskan sebanyak 11,606 permohonan pertukaran guru 'duka lara' dari Januari 2016 hingga Januari 2018, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata kelulusan permohonan itu dibuat selepas mengambil kira empat kriteria utama iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan, keperluan opsyen di negeri serta daerah yang dipohon.

IsItilah "duka lara" digunakan di kementerian itu bagi merujuk kepada guru yang terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing akibat perbezaan tempat bertugas.

"Kementerian sentiasa berusaha dalam memastikan isu guru 'duka lara' ini akan dapat diselesaikan. Bagaimanapun, masalah ini akan sentiasa wujud kerana urusan perpindahan tempat kerja pasangan guru atau guru baharu yang berkahwin sentiasa berlaku.

"Perpindahan guru tidak hanya berlaku sekali atau dua kali seperti dahulu, malah sepanjang tahun berlaku pertukaran," katanya menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) berkenaan isu itu.

Chong berkata empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dianggap kritikal berikutan menerima jumlah permohonan tinggi untuk berpindah ke negeri itu tetapi menghadapi kekangan kekurangan jawatan kosong.

"Di Kelantan misalnya, kekosongan jawatan di sekolah menengah hanya 40, tetapi permohonan masuk ke negeri itu yang diterima ialah sebanyak 1,999 permohonan," katanya.

Katanya selain guru 'duka lara', kriteria lain yang dipertimbangkan untuk permohonan pertukaran guru ialah kes sakit kronik, ancaman keselamatan diri dan tempoh perkhidmatan.

-- BERNAMA