DUN Melaka Lulus Usul Lantik Lee Sebagai Anggota Dewan Negara
MELAKA, 29 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan usul melantik Naib Pengerusi MCA Melaka, Datuk Lee Tian Sing, anak jati Kuala Sungai Baru dekat sini, sebagai Anggota Dewan Negara bagi mewakili negeri ini.
Usul berkenaan dicadangkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan disokong Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) sebelum dewan membuat penggulungan perbahasan dan kemudian mendapat persetujuan 22 daripada 28 anggota dewan.
Lee, 64, yang juga Ketua Bahagian MCA Masjid Tanah berpengalaman luas dalam pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan selain amat dikenali oleh masyarakat setempat pelbagai kaum khususnya masyarakat Cina sejak memegang jawatan dalam parti sebagai Ketua Pemuda Kuala Sungai Baru pada tahun 1986.
Ketika mencadangkan usul itu, Idris berkata pada tahun 1994, Lee dilantik sebagai Ketua Pemuda MCA dan Naib Pengerusi MCA Bahagian Alor Gajah sekali gus beliau berjaya memberikan bantuan dengan cemerlang kepada masyarakat di kawasan itu.
"Beliau merupakan seorang yang sentiasa peka dengan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum kerana baginya, melalui jalan berpolitik, dapat menjadi penghubung rakyat atau perantara dengan pihak kerajaan selain berupaya menunaikan hajat dan keinginan rakyat.
Beliau juga dianggap oleh masyarakat sebagai 'wakil rakyat kecil' kerana menjadi penghubung dengan pihak berkuasa tempatan dalam menyalurkan masalah termasuk kes-kes lanjutan tempoh pajakan tanah, lesen perniagaan dan kebersihan setempat," katanya.
Idris berkata berbekalkan pengetahuan luas Lee dalam bidang politik dan pentadbiran, pihaknya yakin beliau boleh memberi sumbangan yang bermakna sebagai Anggota Dewan Negara sekali gus mampu membawa isu-isu pembangunan di peringkat negeri ke peringkat nasional.
-- BERNAMA