UMNO Serah Bantuan Makanan Kepada Mangsa Banjir Tidak Berpindah




PASIR PUTEH, 29 Nov (Bernama) -- Biro Kebajikan UMNO Bahagian Pasir Puteh hari ini menghulurkan bantuan bungkusan bekalan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Batu Hitam di sini.

Sumbangan makanan seperti beras, sardin, biskut, gula, kopi, teh dan susu untuk bekalan sebulan kepada 60 keluarga di kampung itu disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga bapa angkat kepada UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Mereka tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan pihak berkuasa walaupun halaman rumah mereka dinaiki air antara 0.1 meter dan 0.3 meter kerana kediaman masih boleh didiami.

Asyraf Wajdi berkata sumbangan seperti itu juga akan disampaikan kepada mangsa banjir di kawasan lain yang tidak berpindah ke PPS.

-- BERNAMA