Skuad Sukarelawan Banjir UMNO Hulu Terengganu Ambil Pendekatan Proaktif Sebulan Awal

ADUN Telemong Datuk Rozi Mamat menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Bukit Tadok Kuala Berang
KUALA BERANG, 30 Nov (Bernama) -- UMNO Hulu
Terengganu mengambil pendekatan proaktif dalam mempersiapsiagakan anggota sukarelawannya, sebulan awal dalam menghadapi banjir di daerah itu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu Datuk Rozi Mamat berkata pendekatan itu diambil oleh kerana hampir setiap tahun beberapa kawasan di daerah itu akan berhadapan situasi banjir ekoran sebilangan besar kawasan perkampungan terletak berdekatan dengan sungai utama.
Rozi berkata skuad sukarelawan banjir UMNO Hulu Terenggganu ditubuhkan sejak tahun lepas, bertujuan untuk membantu mangsa dalam penghantaran bekalan makanan, pemindahan atau bantuan lain mengikut keperluan ketika banjir.
Skuad sukarelawan ini yang terdiri daripada ratusan anggota, mereka dilatih untuk mengikut SOP yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara apabila berhadapan dengan situasi banjir.
"Masuk bulan November kita dah mula hantar barangan keperluan seperti makanan serta barangan lain seperti selimut, katil, tilam dan dapur di beberapa pusat pemindahan utama yang telah dikenal pasti di daerah itu untuk bersedia menghadapi banjir," katanya kepada Bernama selepas mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Bukit Tadok, di sini semalam.
Rozi, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Telemong, sanggup meredah banjir biarpun air separas paha untuk menghantar sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada mangsa-mangsa di kawasan itu.
Dalam pada itu, Rozi berkata UMNO Hulu Terengganu masih meneruskan usaha mendidik penduduk di daerah itu mengenai langkah-langkah keselamatan banjir.
"Ia bagi memastikan masyarakat di dalam kampung tahu apa yang mereka perlu buat bila banjir berlaku, sebagai contoh bila air sudah naik ke suatu paras yang harus berwaspada mereka akan pindah ke pusat pemindahan," ujar beliau.
Semalam, Hulu Terengganu dilaporkan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dipindahkan di negeri itu iaitu 515 orang daripada 198 keluarga ditempatkan di 20 Pusat Pemindahan di daerah itu.
-- BERNAMA