UMNO Wilayah Persekutuan Sedia Hadapi PRU14




LABUAN, 3 Dis (Bernama) -- Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan kini bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan mentaliti segar dan positif untuk membantu memastikan isu-isu teras yang membelenggu setiap lapisan rakyat diselesaikan.

Naib Ketuanya Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata kepimpinan UMNO pusat telah mengadakan beberapa inisiatif dan sistem untuk mengenal pasti kelemahan dan kesediaan persiapan PRU14.

Katanya Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang akan membuka tirai pada Selasa ini akan turut memfokuskan mengenai kesediaan jentera parti dalam menghadapi PRU14 dengan semua pemimpin dan anggota menuju ke arah penyatuan dan konsensus.

Selain itu, isu yang turut diketengahkan ialah kos sara hidup rakyat sejajar dengan kemajuan ekonomi negara, katanya.

Bercakap kepada Bernama dalam temu bual sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 baru-baru ini, Mohd Rafi berkata beberapa isu khususnya di tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah diselesaikan menerusi program, projek pembangunan dan hasil daripada pengumuman Bajet 2018.

"Tetapi, masih ada isu yang memerlukan perhatian segera kepimpinan pusat untuk diselesaikan iaitu kos sara hidup. Sepertimana harapan semua orang, perhimpunan agung ini yang terakhir sebelum PRU seterusnya, akan memberikan 'feel good factor' dan mentaliti kemenangan dalam kalangan delegasi selaras dengan persediaan PRU14," katanya.

Mohd Rafi yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan berkata bagi memastikan persediaan lancar, semua pemimpin dan anggota diingatkan supaya mengetepikan agenda peribadi dan bekerja sebagai satu pasukan untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN).

Katanya walaupun Pemuda telah melaksanakan beberapa program yang membantu meringankan beban kewangan rakyat terutamanya belia menganggur, beliau berkata pergerakan itu di Wilayah Persekutuan kini menumpukan kepada usaha untuk memastikan rakyat memahami dengan jelas kepentingan untuk mengekalkan kerajaan BN sebagai kerajaan yang memerintah.

"Selepas mengadakan pelbagai program berorientasikan rakyat, kita dapat lihat peningkatan sokongan daripada masyarakat bukan sahaja Melayu tetapi juga komuniti Cina," katanya.

-- BERNAMA