Perpaduan Ummah: UMNO Pilih Untuk Berjiwa Besar





Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

SEREMBAN, 4 Dis (Bernama) -- Sejarah membuktikan bahawa perpaduan dalam kalangan ummah sangat penting kerana tanpa perpaduan utuh, ia menjadikan umat Islam lemah dan mudah dikuasai anasir buruk.

Perbezaan ideologi politik bukan sahaja menimbulkan kerenggangan hubungan keluarga dan masyarakat, malah lebih buruk jika ia turut menghakis nilai-nilai murni adat ketimuran Malaysia sehingga mencetuskan keadaan tidak selesa khususnya dalam kalangan Melayu-Islam, yang dilihat berpecah belah dalam suhu politik tanah air semakin panas dengan demam Pilihan Raya Umum ke-14.




Menyedari landskap politik Melayu-Islam yang merugikan itu, UMNO dilihat memilih berjiwa besar untuk memastikan agenda perpaduan ummah satu keutamaan yang mesti terpasak kukuh di negara ini.

Demi kepentingan ummah, UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama dengan 'seteru politiknya', PAS, berada di pentas sama pada 4 Dis tahun lepas, memperjuangkan isu kemanusiaan etnik Rohingya di Myanmar, sekali gus menggambarkan kematangan berpolitik dengan mengetepikan perbezaan fahaman bagi isu-isu melibatkan umat Islam.

Sebelum itu, pada 24 Nov tahun lepas, dalam soal Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), kerajaan diterajui UMNO membuat ketetapan bersejarah apabila memberi laluan kepada usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dibacakan di Dewan Rakyat bagi memperkasakan mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

Bagaimana perpaduan ummah ini dapat direalisasikan?

Mengulas persoalan itu, Setiausaha Agung Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) Haspaizi Mohd Zain yakin persefahaman yang mula terjalin antara UMNO-PAS adalah satu titik kekuatan ke arah penyatuan umat Islam di negara ini.

"Ia adalah sesuatu yang dinanti-nantikan umat Islam di negara ini. Kerjasama antara UMNO-PAS akan membina kekuatan kepada umat Islam dan orang Melayu yang sekian lama berpecah akibat perbezaan ideologi politik."

"Sebenarnya UMNO-PAS sebagai parti yang didominasi orang Melayu-Islam, mempunyai banyak titik persamaan berbanding perbezaan dan mereka perlu berlapang dada. Sebagai parti tunjang orang Melayu, sudah tiba masanya untuk PAS dan UMNO menghentikan persengketaan yang akhirnya merugikan," katanya kepada Bernama, di sini.

Membina kekuatan dan perpaduan ummah, kata Haspaizi adalah penting kerana ia sebahagian daripada tuntutan agama, selain dapat memperkukuhkan lagi Islam sebagai agama persekutuan di negara ini.

"Lihat saja bagaimana usaha untuk melaksanakan RUU 355 cuba dihalang oleh pihak tertentu dan ini semestinya memerlukan kepada kekuatan dan kesatuan ummah," katanya.

Keterbukaan UMNO, yang tidak pernah menutup pintu kerjasama dan rundingan sama ada individu, mana-mana parti mahu pun badan bukan kerajaan bagi memperkasakan Melayu-Islam, jelas diterima baik PAS, walaupun parti itu acapkali menegaskan bahawa kerjasama mereka tidak akan sesekali melibatkan ruang lingkup politik, sebaliknya hanya hal melibatkan kepentingan Islam serta kesejahteraan ummah dan rakyat.

Kerajaan Barisan Nasional (BN), yang ditunjangi UMNO hari ini, lebih bertoleransi dalam memainkan peranannya memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat keseluruhan menerusi pelbagai bantuan dan insentif pembangunan.

Hasilnya kini, Kelantan yang diterajui PAS menikmati pelbagai dan lebih banyak bantuan termasuk rangsangan ekonomi apabila kerajaan mengumumkan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Projek sepanjang 600 kilometer itu akan menghubungkan Lembah Klang dengan kawasan pantai timur melalui rangkaian perkhidmatan kereta api yang melalui Pelabuhan Klang, 'Integrated Transport Terminal' (ITT) Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Jelawat di Bachok dan berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Pada 20 Nov lepas, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengakui hubungan dengan kerajaan persekutuan semakin baik terutamanya selepas banjir 2014 dengan banyak kesepakatan dicapai oleh kedua-dua pihak untuk kesejahteraan rakyat.

Di pihak rakyat, peniaga yang mahu dikenali sebagai Suhaimi, 50, berkata 'hubungan' UMNO-PAS dalam soal pembelaan ummah wajar disokong semua pihak dan ia mengambarkan bahawa kedua-dua parti itu tidak lagi terhimpit dengan ideologi sempit yang akhirnya memecahbelahkan rakyat.

"Inilah yang dikatakan politik matang?sekian lamanya saya menantikan perkembangan ini, alhamdulillah sejak akhir-akhir ini nampak positif. Tiada lagi isu-isu seperti kafir mengkafirkan sesama umat Islam dan inilah yang kami sebagai rakyat mahu lihat."

"Mereka (pemimpin politik) perlu menunjukkan contoh baik yang boleh diteladani rakyat keseluruhan khususnya orang Melayu-Islam. Teruskan bekerjasama demi kebaikan ummah. Siapa kata pembangkang dan kerajaan tidak boleh bekerjasama," katanya.

Penganalisis politik Che Hamdan Che Mohd Razali pula berpandangan, persaingan politik dan tekanan yang diterima kedua-dua parti khususnya selepas berlaku perpecahan dalaman memungkinkan 'kerjasama' antara UMNO dan PAS walaupun ia bukan atas dasar platform gabungan, sebaliknya atas dasar mempunyai musuh politik yang sama.

Beliau berkata kedua-dua parti utama orang Melayu harus kembali kepada asas perjuangan iaitu membela Islam dan orang Melayu kerana kelangsungan ummah bergantung kepada kesediaan UMNO dan PAS duduk semeja berbincang demi kemaslahatan ummah.

"PAS mungkin perlu bergantung kepada penyokong UMNO bagi meraih undi di kawasan majoriti Melayu memandangkan ancaman daripada PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Amanah (Parti Amanah Negara) adalah signifikan," katanya.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang itu menegaskan hubungan baik kedua-dua parti mampu memberi imbangan kepada pelbagai ancaman terhadap umat Islam dan orang Melayu, sekali gus memperkasakan masyarakat majoriti Malaysia.

-- BERNAMA