Kuota 30 Peratus Sebagai Senator Iktiraf Perjuangan Wanita UMNO, BN
KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat sekurang-kurangnya 30 peratus wanita menjadi senator di Dewan Negara jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, merupakan satu pengiktirafan kepada perjuangan Wanita UMNO dan BN.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata ia bakal menjadi peristiwa bersejarah bagi golongan wanita negara ini sekiranya ia menjadi kenyataan.
Sambil menyampaikan ucapan terima kasih Wanita UMNO kepada Najib yang juga Presiden UMNO pada sidang media di sini, hari ini, Shahrizat berkata: "Nampaknya, perdana menteri menyahut seruan perjuangan Wanita UMNO dan BN...saya harap ia akan jadi kenyataan."
Perdana Menteri ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Wanita Dalam Politik 2017 (WIPKL 2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini berkata kerajaan mahu melihat sekurang-kurangnya 30 peratus senator di Dewan Negara terdiri daripada wanita, sekiranya BN memperoleh mandat yang kukuh dalam pilihan raya umum akan datang.
Najib berkata kerajaan ingin melihat lebih banyak wanita menyertai politik kerana kehadiran mereka akan mencerminkan pengundi dan menjadikan proses politik lebih inklusif, sekaligus memperkukuh demokrasi negara.
Ditanya sama ada bilangan pemimpin wanita mampu memenuhi kuota 30 peratus itu, Shahrizat yang juga Pengerusi Wanita BN berkata terdapat ramai pemimpin wanita Malaysia yang mampu menjalankan tugas dengan baik sekiranya mereka diberi peluang.
"Pemimpin wanita (di negara ini) melimpah ruah, cuma yang menjadi kekangan ialah bilalah mereka akan diberi peluang seperti itu? Ini yang kita perjuangkan selama ini...satu demi satu halangan kita kena ketepikan dan hapuskan untuk capai kejayaan ini," kata beliau.
Dalam pada itu, Shahrizat yang juga Pengerusi WIPKL 2017, melihat penyertaan 18 negara yang mewakili 28 parti politik di seluruh dunia pada persidangan antarabangsa itu sebagai satu petanda baik bahawa mereka menghormati dan mempercayai sistem politik yang ada di Malaysia.
"Kalau mereka tidak menyokong dan tidak percaya dengan cara kita berpolitik, mustahil mereka akan hadir di sini (WIPKL 2017)," katanya.
WIPKL 2017 anjuran Wanita UMNO diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang bermula esok.
-- BERNAMA