BN Diyakini Terus Menang Di Labuan Pada PRU14
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 4 Dis (Bernama) -- Ketika suhu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semakin membahang, ahli politik daripada pihak kerajaan dan pembangkang juga kelihatan semakin sibuk menonjolkan diri masing-masing sebagai pilihan terbaik untuk mewakili rakyat dalam kerajaan yang akan dibentuk kelak.
Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, yang cukup bersedia untuk dipilih sekali lagi sebagai calon UMNO untuk mengekalkan kerusi Barisan Nasional (BN) di pulau bebas cukai ini, menzahirkan keyakinan beliau tentang perkara itu.
"Tiada apa yang perlu saya bimbangkan tentang penyertaan mana-mana parti pembangkang pada pilihan raya akan datang nanti, tidak kira sama ada akan berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru kerana masyarakat Labuan sentiasa bersatu dan akan terus menyokong BN.
"Sekiranya lebih banyak parti pembangkang mengambil bahagian, ini menunjukkan tiada kesepakatan sesama mereka dan ia akan menyebabkan pengundi tampil untuk menyokong kami," katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Rozman yakin orang ramai masih mengutamakan kerajaan BN yang memerintah sekarang berdasarkan rekod pencapaiannya yang telah terbukti dalam mentadbir pulau ini sejak lebih 33 tahun lepas.
Ketua MCA Labuan Datuk Chin Hon Vui pula berkata sokongan masyarakat Cina terhadap BN kini meningkat berikutan pelbagai ikrar serta bantuan yang diberi kerajaan.
"BR1M, BL1M, BB1M dan PR1M, antara lain, telah menarik perhatian masyarakat Cina dan bantuan seperti itu banyak membantu meringankan beban rakyat kerana bukan semua orang Cina kaya raya; maka, masyarakat Cina akan memberi sokongan mereka kepada calon BN pada pilihan raya akan datang," katanya.
Chin berkata pengundi Cina di Labuan akan membantu BN Labuan mengekalkan kerusi parlimen dan menurut beliau, rakyat tidak akan mudah terpedaya oleh propaganda pembangkang.
Sementara itu, ahli akademik dan pemerhati politik daripada sebuah universiti tempatan, Dr Romzi Ationg, yang membuat penyelidikan tentang politik kontemporari Malaysia dan global, berkata BN tidak boleh bersikap selesa, tetapi perlu melipatgandakan usaha, bukan sahaja untuk menjamin kemenangan, malah untuk memastikan semua calon pembangkang hilang wang pertaruhan.
Labuan diberi taraf sebagai Wilayah Persekutuan di samping Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 1984.
Menurut laporan baru-baru ini, Parti Warisan, sebuah parti yang ditubuhkan di Sabah dan diketuai bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafei Apdal, telah mengadakan beberapa pertemuan serta perhimpunan politik bersama-sama pemimpin tempatan di pulau ini.
Ketika berucap pada satu perhimpunan politik di sini, Naib Presiden Warisan Junz Wong memberitahu hadirin bahawa parti itu merancang untuk bertanding di Labuan.
Terdapat juga ura-ura bahawa sebuah lagi parti pembangkang tempatan, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), yang diketuai bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah dan bekas Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Lajim Ukin, akan turut bertanding bagi kerusi Parlimen Labuan.
Pada Pilihan Raya Umum 2013, ahli perniagaan Tan Sri Ibrahim Menudin Ibrahim bertanding sebagai calon PKR di Labuan, tetapi hanya memperoleh 6,069 undi dan kalah dengan 6,625 undi kepada Rozman, yang meraih 12,694 undi.
-- BERNAMA