Perkukuh Rangkaian Kerjasama Pemuda Dan Puteri - Hishammuddin
KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Rangkaian kerjasama di antara Pemuda dan Puteri UMNO perlu diperkukuh lagi dalam usaha memikat golongan muda dan seterusnya membantu parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sikap bekerjasama itu juga penting bagi memperkukuh perpaduan demi kelangsungan parti pada masa akan datang.
"Kita tahu sejak dua tahun kebelakangan ini UMNO telah diserang oleh pihak-pihak tertentu malah bekas pemimpin kita pun turut menyerang kita. Tetapi tahun ini berbeza kita lebih kuat dan bersatu.
"Menerusi gandingan Pemuda dan Puteri UMNO saya yakin kita dapat kembalikan 'feel good factor' terhadap UMNO," katanya ketika merasmikan majlis makan malam Pink Reunion 2.0 2017 anjuran Puteri UMNO, di sini malam ini.
Majlis yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 itu bertujuan mengeratkan hubungan antara bekas-bekas pemimpin dan anggota terdahulu pergerakan tersebut.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Perhimpunan Agung UMNO 2017 akan bermula esok sehingga 9 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dengan 5,739 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan itu.
-- BERNAMA