Wanita Mahukan Waktu Fleksi Urus Kerja Dan Keluarga - Khairy




KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Mempunyai waktu bekerja yang fleksibel adalah satu daripada aspirasi yang disuarakan oleh ramai wanita dalam agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerana ini akan membolehkan mereka berjaya di tempat kerja serta di rumah.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata wanita tidak mahu terperangkap dalam keadaan di mana mereka terpaksa memilih di antara keluarga dan kerja, oleh itu, perlu ada peraturan yang membolehkan mereka mengendalikan kedua-duanya.

"Tempat kerja pada masa depan berubah dengan pesat dan dengan menggunakan teknologi, kita tidak perlu hadir (di pejabat) dari 9 pagi hingga 5 petang lagi. Kita bercakap tentang mengaturkan waktu bekerja yang fleksibel.

"Kami juga bercakap mengenai syarikat-syarikat yang menawarkan pekerja untuk bekerja dari rumah serta pekerja wanita dan lelaki yang mengambil cuti sama ada untuk komitmen keluarga atau sabbatikal dan kembali bekerja tanpa hilang kekananan jawatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi yang diadakan pada Persidangan Antarabangsa mengenai Wanita Dalam Politik Kuala Lumpur 2017 (WIPKL 2017) di sini, hari ini.

Acara itu diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra yang bermula esok.

Khairy, yang juga Ketua Pemuda UMNO, berkata seseorang pekerja dilihat lebih efektif, produktif dan efisien apabila mereka dapat menyeimbangkan kehidupan berkeluarga dan pekerjaan selain melakukan aktiviti di luar kehidupan profesional mereka.

Beliau turut memberitahu bahawa maklum balas lain yang diperoleh daripada wanita bagi TN50 adalah mereka ingin melihat kadar jenayah yang rendah dan dapat menjalani kehidupan dengan selamat walaupun pada waktu malam selain dilayan dengan saksama dan bermaruah.

-- BERNAMA