Persiapan UMNO Hadapi PRU14 Masuki Fasa Terakhir - Hishammuddin
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Persiapan UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah memasuki fasa terakhir dengan tumpuan seluruh barisan jentera harus berpaksikan kepada usaha untuk memenanginya, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam amanatnya kepada para anggota perwakilan dan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri parti hari ini jelas mahukan soal lain termasuk pemilihan parti diketepikan dahulu kerana jawatan parti tiada maknanya jika tidak mendapat sokongan padu rakyat dalam PRU.
Katanya Najib yang juga Perdana Menteri telah memberikan isyarat supaya UMNO membuat persiapan menghadapi PRU14 pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas.
"Dalam satu tahun ini, banyak benda telah kita lakukan dan sekarang ini merupakan 'last mile' (peringkat akhir).
"'Last mile' ini kita kena gemblengkan semangat, rapatkan barisan, pastikan tumpuan kita bukan kepada pemilihan parti tetapi terhadap PRU yang akan kita hadapi tidak lama lagi," kata Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, kepada pemberita selepas Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Taklimat dua jam itu, yang diadakan secara tertutup di Dewan Merdeka, merupakan pembuka acara bagi Perhimpunan Agung UMNO yang dihadiri 5,739 anggota perwakilan dari seluruh negara.
Ditanya jika Najib memberikan petanda yang lebih jelas mengenai tarikh PRU14, Hishammuddin berkata kesiagaan jentera parti dalam menghadapi pilihan raya itu harus dipertingkat ke tahap optimum seolah-olah ia akan diadakan esok.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata meskipun tarikh sebenar PRU tidak didedahkan perdana menteri, namun adalah amat penting untuk semua peringkat bersiap sedia dan melaksanakan gerak kerja setulus hati bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Najib yang juga Pengerusi BN akan menggunakan kaedah pemilihan calon bertanding berdasarkan apa yang dikehendaki rakyat.
"Bukan (tentang) apa yang Ketua UMNO Bahagian atau Timbalan Ketua UMNO Bahagian hendakkan untuk kawasan itu, "kata Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.
Ketua Pemuda UMNO Selayang Muhamad Nazri Mohd Amin berkata Presiden UMNO memberi bayangan kepada para anggota perwakilan bahawa kini mereka di peringkat persiapan akhir sebelum PRU14 dengan pilihan raya itu boleh diadakan pada bila-bila masa.
"Presiden sebut selang beberapa hari dan beberapa minggu sahaja lagi (PRU)...beliau juga sebut Januari akan ada banyak program yang akan dibuat oleh kerajaan, justeru itu, beliau minta semua jentera supaya bekerja kuat," katanya.
Beliau memberitahu bahawa para perwakilan turut bersorak dan memberikan tepukan gemuruh apabila Presiden UMNO menyatakan momentum BN untuk memenangi PRU14 adalah dalam keadaan yang cukup baik.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata Najib menggesa para perwakilan supaya menyokong calon-calon yang bakal bertanding dalam PRU14 nanti serta membayangkan adanya muka baharu pada pilihan raya itu.
"Beliau (Najib) meminta semua supaya berkompromi," katanya.
Azalina berkata calon-calon baharu merupakan pendekatan terbaik untuk berhadapan dengan perubahan landskap negara dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Md Rozai Safian berkata Presiden UMNO mahu pecutan terakhir sebelum PRU14 dibuat dengan mempersiap jentera parti di peringkat bahagian, lokaliti dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Beliau berkata Najib juga mahu segala masalah dalaman diselesaikan dengan segera selain memantapkan kerjasama dengan parti-parti komponen dalam BN.
"UMNO tidak boleh buat kerja secara bersendirian," katanya yang memetik Najib sebagai berkata.
Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Negeri Sembilan Datuk Jalaluddin Alias pula berkata Najib dalam amanatnya menuntut kesetiaan tidak berbelah bahagi anggota parti kepada institusi presiden bagi memastikan kelangsungan UMNO selain mandat yang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata perdana menteri juga meminta semua anggota parti supaya tidak lagi menumpukan soal pemilihan dalam parti sebaliknya lebih fokus kepada persiapan akhir jentera untuk memastikan UMNO dan BN menang dengan majoriti yang selesa bagi menumpukan kepada pembangunan dan pembelaaan rakyat.
"Presiden juga mahu semua pihak tidak mempersoal calon yang dipilih dan harus reda serta memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada mereka yang dicalonkan," katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Idris Haron pula berkata Najib dalam amanatnya mahu parti itu menunjukkan kad laporan kejayaan bagi meyakinkan rakyat dalam usaha membina negara.
Ketua Menteri Melaka itu berkata Najib turut menekankan supaya anggota UMNO menjadi ejen bagi menyedarkan rakyat bahawa pembangkang tidak mampu membela nasib rakyat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Najib turut menekankan tentang pentingnya semangat bertolak ansur dan bermusyawarah untuk menyelesaikan sebarang masalah melalui konteks kekeluargaan bagi memberi kemenangan kepada UMNO dan BN.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata amanat Najib adalah untuk memastikan anggota parti tidak terlibat dengan isu-isu yang boleh menjurus kepada perpecahan.
"Saya percaya bila ikatan kekeluargaan di antara ahli UMNO itu kuat, solidariti tinggi, maka tidak akan ada masalah untuk kita capai matlamat dalam pilihan raya umum yang akan berlangsung tidak lama lagi," katanya.
--BERNAMA