Kerajaan Pusat Tidak Pernah Abaikan Sabah, Sarawak - Zahid




KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kerajaan persekutuan tidak pernah mengabaikan Sabah dan Sarawak, terutama dalam soal keselamatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan cadangan pembinaan tembok sempadan berteknologi terkini memaparkan keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan negara.

Naib Presiden UMNO itu yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, berkata kerajaan telah menyediakan RM250 juta sebagai peruntukan awal untuk menambah baik aset Esscom.

"Siapa kata kita tak ambil peduli rakyat Sabah dan Sarawak? Kita juga menyediakan teknologi tercanggih di setiap pintu masuk melalui penaiktarafan ICQ," katanya ketika merasmikan secara serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini malam ini.

Pada 7 Mac 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas di Pantai Timur Sabah yang diikuti pengisytiharan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) pada 27 Mac 2013.

Pada 1 April 2013, Esscom ditubuhkan dan selepas itu Ops Daulat digantikan dengan Operasi Sanggah yang dikendalikan sepenuhnya oleh Esscom.

Esscom merupakan ejen penguatkuasaan keselamatan bagi Esszone yang merangkumi 10 daerah dan diwujudkan khusus bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri itu ekoran insiden pencerobohan sekumpulan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Esszone meliputi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

-- BERNAMA