Sayap UMNO Ikrar Laksanakan Mandat Khas Untuk PRU Ke-14
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO berikrar untuk melaksanakan mandat khas yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan parti dalam usaha memenangi pilihan raya umum akan datang.
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu diberi tanggungjawab bagi memastikan sokongan besar pengundi lelaki Melayu bawah 40-an yang dianggarkan sekitar 1.9 juta orang, menyakini Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Pemuda UMNO juga dikehendaki membantu menyebarkan maklumat dan memerangi fitnah pihak lawan sewaktu tempoh berkempen kelak, katanya.
"Taklimat presiden (petang tadi) telah menyatakan betapa pentingnya kita bersiap sedia sekarang, serta menerapkan mentaliti boleh menang.
"Datuk Seri (Ahmad) Zahid (Hamidi) pula telah memberi tugasan kepada setiap sayap, untuk dilaksanakan secepat mungkin. Dia telah nyatakan, 'Action, Action, Action!' Jadi 'sense of urgency' itu perlu ada di setiap peringkat,' katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO oleh Ahmad Zahid selaku Naib Presiden yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata amanat Ahmad Zahid menjadi suntikan semangat yang sangat bermakna kepada ketiga-tiga sayap kerana ia merangkumi harapan pengundi, terutamanya bangsa Melayu terhadap parti keramat itu.
Beliau berkata ucapan yang bertajuk 'Lembayung Arjana Bangsa' itu mengandungi inti pati penting mengenai sikap keterangkuman UMNO yang kini berusia 71 tahun, dalam mengemudi bukan sahaja bangsa Melayu tetapi juga Malaysia sejak 60 tahun merdeka.
"Sikap keterangkuman kita yang dapat menjaga seluruh rakyat Malaysia, keterangkuman ekonomi, keselamatan, antarabangsa, bagaimana dapat tegakkan syiar agama Islam.
"Segala-galanya telah dibentangkan sebagai satu manifestasi awal, harapan yang dapat diberi kepada pengundi sekiranya mandat diberikan kepada UMNO pada PRU (pilihan raya umum) akan datang," katanya lagi.
Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata pergerakan itu akan mengoptimumkan pendekatan tradisi mereka iaitu turun padang dan bertemu pengundi secara 'person-to-person' menjelang PRU.
Wanita UMNO juga akan bertindak sebagai mata dan telinga rakyat untuk mengetengahkan segala kemusykilan dan permasalahan kepada kerajaan, katanya.
"Kita kini di fasa terakhir sebelum PRU dan Wanita UMNO berikrar akan tingkatkan gerak kerja kerana PRU14 adalah raja segala pilihan raya 'and we really take our job seriously'," katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ucapan Ahmad Zahid antara lain menitikberatkan semangat kebersamaan antara anggota UMNO yang perlu dijadikan keutamaan.
Katanya saranan itu wajar dan anggota UMNO perlu mengetepikan kepentingan dan agenda peribadi demi kelangsungan parti pada masa akan datang.
"Beliau (Ahmad Zahid) menuntut Puteri untuk bersama-sama menggalas tanggungjawab bersama Wanita dan Pemuda membantu parti dalam PRU14 .
"Insya-Allah bagi pihak Puteri, kami akan memperkuat gerak kerja terutamanya dalam memenangi undi golongan wanita muda," katanya.
-- BERNAMA