Najib Lancar Pameran Karikatur
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Sebanyak 100 karikatur yang memaparkan kesengsaraan dan penderitaan etnik Rohingya serta usaha yang dilakukan Malaysia bagi membantu masyarakat itu dipamerkan selama lima hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sehingga Sabtu ini.
Pameran 'Survival Muslim Rohingya' anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri bersama Rumah Kartun dan Komik Malaysia itu turut memaparkan karya berkaitan keprihatinan dan peranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memperjuangkan krisis yang dihadapi masyarakat itu.
Pameran bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 itu dilancarkan Najib, yang juga Presiden UMNO hari ini, dengan beliau turut meluangkan masa mengamati beberapa karya yang dipamerkan di situ.
Penasihat Agama kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia Tan Sri Dr Abdullah Md Zin berkata pameran itu bertujuan menyatakan pendirian Malaysia dan rakyat di negara ini untuk bersama dengan etnik Rohingya dalam perjuangan untuk mendapatkan hak-hak mereka.
Katanya, menerusi karikatur itu diharapkan orang ramai dapat menghargai nikmat keamanan yang wujud di negara ini hasil amalan pendekatan wasatiyyah ataupun kesederhanaan yang menjadi pemangkin kepada kehidupan yang harmoni.
"Diharapkan juga ia dapat merangsang naluri keinsanan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk terus bersama dengan kepimpinan negara memperjuang dan membela nasib masyarakat Rohingya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.
Sementara itu, Pengasas Rumah Kartun dan Komik Malaysia yang juga Presiden Kelab Kartunis Malaysia Mohd Desa Omar berkata pameran itu terbahagi kepada empat segmen iaitu kesengsaraan muslim Rohingya, pandangan kartunis dunia, inisiatif Malaysia dan peranan Perdana Menteri dalam menggerakkan pendekatan wasatiyyah.
"Orang ramai yang menyaksikan pameran ini boleh memahami dengan mudah mesej tersurat dan tersirat yang hendak disampaikan dalam karikatur-karikatur yang dipamerkan serta dapat menyelami kepedihan yang dirasai muslim Rohingya," katanya.
-- BERNAMA