Hidupkan Semangat Perpaduan Dan Toleransi - PEMENANG




KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) mahu semangat perpaduan dan toleransi yang menjadi asas mencapai kemerdekaan, dihidupkan semula sempena memperingati tarikh ulang tahun ke-27 kemangkatan Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hari ini.

Presiden Pemenang Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata almarhum Tunku telah meletakkan batu asas yang kukuh untuk negara ini ditadbir urus supaya sentiasa makmur dengan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya dapat hidup dengan harmoni, aman, bahagia serta sejahtera.

"Tunku dilahirkan sebagai putera raja yang telah mengorbankan segala kesenangan dan wang ringgit serta harta dalam perjuangan baginda untuk negara demi mencapai kemerdekaan pada 1957," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Persatuan itu berpendapat sekiranya Tunku masih hidup, baginda akan merasa kecewa dengan perpaduan kaum di negara ini.

"Kini, budaya ungkit mengungkit dijadikan modal untuk mencari pengaruh politik, sehingga menjejaskan kestabilan ekonomi negara dan keharmonian rakyat bermasyarakat majmuk," jelas kenyataan itu.

-- BERNAMA