UMNO Berhimpun Untuk Fokus Kepada Usaha Tingkat Kecekapan Bantu Bumiputera




Datuk Seri Mustapa Mohamed

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Lebih banyak tumpuan dalam meningkatkan kecekapan dan penyampaian bantuan kerajaan kepada Bumiputera, merupakan antara agenda utama pada Persidangan Agung Umno 2017, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan, yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, juga akan memberi tekanan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memperkasa syarikat Bumiputera untuk mengeksport dan terlibat dalam ekonomi digital.

"Pada pandangan saya, tidak ada kerajaan lain di dunia yang memberi penekanan terhadap peningkatan ekonomi penduduk pribumi berbanding kita.

"Ini terbukti menerusi penubuhan agensi-agensi seperti Unit Pemandu Agenda Bumiputera, Majlis Amanah Rakyat dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Negara, yang antara lain bertujuan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi," katanya kepada Bernama pada perhimpunan agung itu di sini hari ini.

Anggota Parlimen Jeli itu yang lebih mesra dengan panggilan 'Tok Pa', juga berkata lebih penting lagi , kerajaan komited dalam memastikan kesejahteraan mereka yang kurang berkemampuan menerusi pelbagai dasar termasuk, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan projek InfraRakyat.

"Kerajaan juga akan terus membangunkan keupayaan PKS, sejajar dengan visi untuk membawa mereka ke peringkat antarabangsa dan menjadi sebahagian daripada ekonomi digital."

"Kerajaan berharap Zon Perdagangan Bebas Digital akan menjadi dorongan untuk membawa lebih banyak PKS, termasuk Bumiputera, ke dalam perniagaan e-dagang."

"Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam perubahan pesat landskap di sekeliling, termasuk Industri 4.0 dan ekonomi digital," katanya.

Mustapa berkata Malaysia perlu meningkatkan penggunaan industri 4.0 dalam keseluruhan syarikat.

"Ketika kita menghampiri 2020, kita perlu dan akan terus merapatkan jurang pendapatan dan tahap pembangunan yang berbeza di seluruh negara."

"Kerajaan perlu menambah peruntukan untuk negeri-negeri yang ketinggalan supaya mereka dapat dibawa seiring dengan negeri yang lain," katanya.

Mengenai kesaksamaan jantina, Mustapa berkata, kerajaan berjaya dalam mencapai perwakilan wanita yang saksama di peringkat uniiversiti dan tempat kerja.

Pengumuman terbaru oleh perdana menteri untuk meningkatkan kuota bagi senator wanita di Dewan Negara kepada 30 peratus (daripada 19.35 peratus) merupakan langkah yang wajar disambut baik dalam konteks memperkukuh agenda pemerkasaan wanita, katanya.

"Pada masa ini, terdapat hampir 187,000 perniagaan milik wanita, yang membentuk kira-kira 20.6 peratus daripada PKS di Malaysia."

"Sebilangan besar daripada mereka iaitu kira-kira 91.7 peratus, berada dalam sektor perkhidmatan," katanya.

-- BERNAMA