Ucapan Presiden Beri Isyarat Jelas Perkemas Gerak Kerja Parti

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO telah memberi isyarat yang cukup jelas kepada anggota UMNO untuk memperkemas gerak kerja parti dengan mengemukakan lima saranan dan semboyan penentu kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata apabila perdana menteri menekankan mengenai 'bapa segala pilihan raya' ia bermakna semua perlu bekerja keras.
"Kita tidak ada pilihan lain selain mesti menang," katanya mengulas ucapan dasar Najib pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.
Veteran UMNO Tan Sri Tajol Rosli Ghazali berkata gesaan Najib supaya setiap anggota parti menyokong penuh calon yang terpilih pada PRU14 akan datang, ada asasnya.
"Jika dipraktikkan, UMNO dan BN tidak akan kalah kerana dalam masa yang sama kita memerlukan calon-calon baharu untuk tampil ke hadapan. Beri peluang kepada calon muda dan saya yakin kita akan capai kemenangan," kata bekas menteri kabinet dan juga Menteri Besar Perak itu.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Najib telah memberi gambaran yang tepat mengenai keadaan masa depan yang suram terutama bagi kaum Melayu sekiranya parti pembangkang memerintah negara.
"Presiden juga jelas mahu kita bersedia dan bersatu, saya percaya semangat telah pun ditiup ke dalam (jiwa) semua perwakilan hari ini," kata Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata ucapan Najib boleh dikatakan sebagai semboyan terakhir buat BN dalam persediaan menghadapi PRU14.
"Semboyan itu akan disahut Gerakan dalam meningkatkan usaha kerjasama dengan parti komponen lain dalam BN. Bagi Gerakan kami memang sudah bersedia 100 peratus turun ke akar umbi untuk mendapatkan undi," katanya.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ucapan Najib memberi jaminan bahawa masa depan Malaysia akan lebih cerah di bawah pentadbiran BN.
"MCA bersama UMNO telah sama-sama memperjuangkan masa depan negara untuk semua kaum.
"Walaupun kita (MCA) parti berasaskan komuniti tetapi kita tidak rasis. Ini adalah pendirian kita. BN mempunyai nilai terasnya iaitu saling menghormati, bekerjasama, mementingkan keharmonian dan mengamalkan nilai konsensus," kata Liow yang juga Menteri Pengangkutan.
Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam menyifatkan ucapan Najib yang juga Presiden BN membuktikan bahawa perjuangan parti itu telah berjaya menyatupadukan semua masyarakat di negara ini.
Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) Tan Sri M. Kayveas berkata Najib telah menyatakan dengan jelas bahawa rakyat di negara ini ingin hidup aman, mereka perlu bersatu dan membuat keputusan yang bijak.
-- BERNAMA