UMNO Sabah Perlu Dukung Amanat Presiden UMNO - Musa Aman




KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Tan Sri Musa Aman mahu setiap anggota parti di negeri itu mendukung amanat Datuk Seri Najib Tun Razak dengan berusaha mendapatkan kemenangan besar untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata demi mencapai matlamat mendapatkan mandat bagi BN untuk terus memerintah negara, semua anggota UMNO perlulah bersatu padu dan saling bekerjasama dengan erat seperti yang diminta oleh Presiden UMNO itu.

"Insya-Allah, kita akan beroleh kemenangan yang besar kalau kita terus bersatu padu dan bekerjasama bantu membantu di antara satu sama lain.

"Kita juga mestilah sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi PRU14, yang amat penting untuk kita semua, dan anak cucu kita serta generasi yang akan datang," katanya kepada pemberita selepas Najib merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah yakin semangat iltizam tinggi disertai dengan keikhlasan, kejujuran serta kerjasama akan menjamin kemenangan besar dalam PRU ke-14.

Beliau berkata rekod terbaik BN membela nasib segenap lapisan masyarakat perlu diteruskan dengan dengan anggota UMNO turun padang memberi penjelasan mengenai kejayaan serta dasar yang dilaksanakan kerajaan memerintah.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih berkata peringatan Najib yang mahukan jentera sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bergerak seiring dalam mendekati akar umbi, harus diberi perhatian oleh semua anggota parti.

Beliau berkata perkara utama yang perlu dilakukan ialah dengan memujuk anggota UMNO dan penyokong BN di setiap kawasan supaya bersatu padu bagi mendapatkan kemenangan BN dalam PRU14.

Isnin berkata dengan Sabah mencatatkan jumlah keanggotaan paling ramai, ini membuktikan bahawa parti itu mampu mendapatkan sokongan masyarakat Sabah.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Papar Datuk Armizan Mohd Ali pula menyifatkan ucapan dasar Najib sebagai mesej penting kepada masyarakat, sekali gus menonjolkan pencapaian kerajaan BN selama ini.

"Kita perlu memberi keyakinan bahawa BN adalah kerajaan terbaik dan tidak ada alternatif lain yang dapat membawa perubahan dan kemajuan kepada rakyat," katanya.

Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin berkata adalah tepat pada masanya Presiden UMNO mengingatkan rakyat menolak pembangkang kerana mereka tidak mempunyai hala tuju dan perjuangan tetap selain sekadar menabur janji kosong semata-mata.

-- BERNAMA