Anggota UMNO Diminta Ketepi Kepentingan Peribadi - Shamsuddin
KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Seluruh anggota UMNO diminta mengetepikan semua sentimen peribadi bagi menyahut seruan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu anggota parti bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi Datuk Shamsuddin Yahya berkata ucapan presiden UMNO semasa merasmikan persidangan UMNO semalam perlu dijadikan peringatan agar semua pihak mengukuhkan perpaduan demi mencapai kejayaan cemerlang dalam PRU14.
Menurut beliau, kesetiaan juga menuntut anggota-anggota parti mematuhi arahan dalam menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing bagi menghadapi cabaran pembangkang.
"Presiden UMNO turut meminta kita semua agar istiqamah dalam perjuangan parti selain terus mengukuhkan perpaduan dan kesetiaan demi memastikan kemenangan pada pilihan raya yang bakal diadakan pada bila-bila masa.
"Kita perlu membuang sentimen peribadi kerana yang penting ialah kemenangan parti dan bukan kemenangan peribadi," katanya.
Shamsuddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong mahu anggota UMNO, khususnya di Sabah supaya bersatu bagi memastikan negeri itu kekal di tangan Barisan Nasional (BN).
-- BERNAMA