PRM Janji Perumahan Dan Parkir Percuma Untuk Penduduk Pulau Pinang




GEORGE TOWN, 10 Dis (Bernama) -- Parti Rakyat Malaysia (PRM) berjanji untuk membina rumah yang mencukupi untuk golongan miskin serta menyediakan parkir percuma kepada penduduk Pulau Pinang sekiranya parti itu diberi kepercayaan mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agungnya, Koh Swe Yong mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP mengamalkan dasar pembangunan yang tidak seimbang sehingga membawa keburukan kepada alam sekitar ekoran kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di negeri itu.

"Pentadbiran kerajaan Pulau Pinang hilang arah tuju dengan masalah wang politik dan kroni-kroni yang mencari keuntungan," beliau mendakwa demikian pada sidang media yang turut dihadiri pengerusi parti itu, Tan Hiang Lye, di sini hari ini.

Koh berkata sekiranya parti itu berjaya menawan negeri itu pada PRU14 nanti, pihaknya akan membawa dasar terbaik berbanding pentadbiran kerajaan pimpinan DAP.

"Antaranya kami akan menambah tempat parkir yang mencukupi dan memberi parkir percuma dan membina rumah yang mencukupi untuk diagihkan kepada golongan miskin dan mereka yang tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

Dalam pada itu, Koh berkata parti itu akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri itu pada PRU14. Bagaimanapun, parti itu belum mahu mendedahkan kerusi mana yang akan ditandingi oleh mereka.

-- BERNAMA