Wujud Tabung Khas Percepat Bantuan Kepada Rakyat - MB Perlis
KANGAR, 12 Dis (Bernama) -- Kerajaan Perlis akan mewujudkan sebuah tabung khas bagi membolehkan bantuan tunai disalurkan terlebih dahulu kepada penerima yang layak, sementara menunggu proses kelulusan bantuan kebajikan daripada jabatan berkaitan selesai.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata dana untuk Tabung Bantuan Segera (TBS) itu akan bermula dengan peruntukan awal RM500,000 pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis dan Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri akan membuka kaunter Jom Bantu Rakyat pada Sabtu minggu kedua setiap bulan bagi memastikan tiada yang tercicir dalam mendapat bantuan kebajikan.
"Wakil rakyat bersama JKM Perlis dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung akan turun padang dalam usaha untuk mengenal pasti golongan miskin di Perlis," katanya semasa membentangkan Bajet Perlis 2018 di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata lima tahun lepas, ketua isi rumah miskin tegar di negeri itu berjumlah 342, namun pada 2016 hanya 81 dikenal pasti masih berada dalam kelompok tersebut.
"Ini menunjukkan penurunan sebanyak 76 peratus dan mengikut rekod kerajaan negeri, kini jumlah ketua isi rumah miskin tegar hanya tinggal 46 dan dengan komitmen kerajaan negeri dan sokongan semua pihak tidak mustahil kemiskinan tegar di Perlis dapat disifarkan, "kata Azlan.
Menerusi pembentangan bajet hari ini juga, beliau berkata dana berjumlah RM650,000 disediakan khusus untuk membantu rakyat yang mengalami kerugian harta benda akibat bencana atau musibah seperti ribut dan kebakaran.
Selain itu, Azlan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM16.2 juta untuk bantuan am di negeri itu, termasuk RM8 juta sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
"Saya bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat menjunjung kasih ke atas Yang Dipertua MAIPs, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan menambah bantuan am bagi 2018," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan mengeluarkan lesen penjaja dan membenarkan suri rumah berniaga secara kecil-kecilan di rumah.
"Kebanyakan suri rumah hendak meniaga untuk tambah pendapatan keluarga, tapi berdepan pelbagai kekangan dari segi penjagaan anak dan kesulitan untuk menyewa premis perniagaan.
"Jadi mereka dibenarkan berniaga di rumah, dengan syarat mesti patuh syarat tertentu seperti tidak mengganggu kejiranan dan perlu mementingkan isu keselamatan," katanya.
-- BERNAMA