Veteran UMNO Nyatakan Kesediaan Bantu BN Pada PRU-14

ALOR SETAR, 14 Dis (Bernama) -- Badan Perhubungan UMNO Kedah mengalu-alukan hasrat anggota veterannya untuk membantu berkempen di semua peringkat bahagian dan cawangan termasuk di 672 Pusat Daerah Mengundi (PDM) menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, UMNO tidak akan sama sekali meminggirkan peranan golongan veteran yang dimainkan sebelum ini dan mereka digalakkan membantu jentera-jentera parti bagi memenangkan UMNO dan Barisan Nasional.
"Selama ini pun mereka pemimpin parti di peringkat bahagian, cawangan dan PDM, jadi mereka boleh teruskan mengikut kemampuan mereka dengan pengalaman yang dimiliki, nasihat mereka boleh diterima pakai oleh anak-anak muda.
Kita sedar usia mereka tidaklah segagah dulu, tetapi mereka boleh ceritakan pengalaman mereka agar orang muda melihat ke hadapan dan tidak mendengar berita-berita yang tidak betul," katanya kepada Bernama pada Majlis Perjumpaan Masyarakat Veteran UMNO Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.
Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata, terdapat kira-kira 90,000 veteran UMNO di negeri ini yang telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti dan yakin dengan kerjasama ini Kedah akan terus kekal di bawah pemerintahan BN.
Turut hadir Setiausaha Agung Veteran UMNO pusat, Datuk Mustapha Yaakob dan Penasihat Veteran UMNO yang juga bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali.
Sementara itu Mustapha berkata, 800,000 anggota veteran UMNO di seluruh negara sedia membantu jentera UMNO dan BN pada PRU-14 nanti.
"Kita akan lancarkan kempen 'Keluargaku Pengundi BN' sebaik paluan gong dipalu PM (Perdana Menteri), dengan kempen ini seorang veteran akan menjaga seorang isteri atau isteri jaga seorang suami, dua anak dan dua menantu...inilah yang kita akan bantu.
"Bayangkan kalau kita ada 800,000 veteran di Malaysia, kali dengan lima orang ertinya veteran UMNO boleh menyumbang empat juta pengundi yang mengundi BN...kami sebenarnya nak menolong dan nak membantu dan tak ada kepentingan dalam hal lain," katanya.
Katanya, sebanyak 500,000 poster menerusi kempen 'Keluargaku Pengundi BN' telah dicetak dan akan diedarkan kepada semua veteran UMNO di bahagian-bahagian seluruh negeri menjelang pilihan raya nanti.
-- BERNAMA