184 Anggota Polis Jalani Latihan 'Ex Undiper' Bagi Menghadapi PRU14
MARANG 14 Dis (Bernama) -- Sejumlah 184 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini terlibat dalam latihan amali 'Ex Undiper PRU14' ini sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Suhaimi Ali menyatakan bahawa latihan yang diadakan di Sekolah Menengah Wakaf Tapai itu turut bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggota PDRM dalam menghadapi tugasan sebenar semasa PRU14 yang akan tiba nanti.
"Latihan amali ini adalah untuk mengenal pasti kelemahan yang mungkin wujud dalam situasi sebenar PRU dan mengambil langkah proaktif menghadapi kelemahan yang dikesan.
Selain itu, ia juga untuk menguji kecekapan anggota serta keberkesanan pelaporan melalui Sistem Maklumat Pilihan Raya (SMPR) dan juga pelaporan lisan melalui alat telekomunikasi yang akan digunakan semasa PRU," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Latihan yang bermula dari semalam sehingga Sabtu ini dijalankan mengikut model sebenar PRU bagi Daerah Marang melibatkan Parlimen Marang, dan empat Dewan Undangan Negeri di bawahnya iaitu Alor Limbat, Bukit Payong, Rhu Rendang, dan Pengkalan Berangan.
Katanya, latihan tersebut melibatkan semua elemen-elemen di dalam pasukan dan agensi-agensi dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menurut Suhaimi lagi, latihan tersebut juga bagi memperkemaskan lagi koordinasi operasi dan sumber manusia dengan unit sokongan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan AM (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), dan Unit Pemusnah Bom PDRM (UPB).
-- BERNAMA