Hampir 8,000 Polis Perak Terlibat Latih Amal PRU14

IPOH, 15 Dis (Bernama) -- Seramai 7,679 pegawai dan anggota polis daripada kontinjen Perak terlibat dalam Latih Amal Ex-Undi PRU14 selama dua hari bermula semalam, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata latihan sekitar bandar raya Ipoh termasuk di Muzium Perak melibatkan proses pengundian dan penjumlahan undi serta pasca pilihan raya itu bagi menguji tahap kesiapsiagaan pegawai serta anggota polis dalam menghadapi situasi sebenar.
"Ini latihan peringkat pertama membabitkan lima fasa melibatkan proses pengundian dan penjumlahan undi serta pasca PRU14."
"Latihan ini akan berterusan sehingga PRU akan datang, mungkin dengan suntikan senario lebih ganas atau memperbaiki kelemahan yang ada," katanya kepada pemberita selepas Latih Amal Ex-Undi PRU ke-14 Kontinjen Polis Perak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hasnan berkata senario latihan juga melibatkan 150 penyokong politik membuat rusuhan di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri selepas PRU14.
Akibat rusuhan itu, tujuh anggota polis tercedera dan 28 perusuh ditangkap kerana membaling pelbagai senjata tajam serta bom molotov, katanya.
"Sekiranya keadaan tersebut tidak dapat dikawal saya sebagai Ketua Polis Perak tidak akan teragak-agak mengisytiharkan perintah berkurung di daerah ini," katanya.
Latihan itu turut menggunakan bom asap selain tembakan meriam air oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyuraikan perusuh.
-- BERNAMA