IPD Port Dickson Jalani Latihan Persediaan PRU14
PORT DICKSON, 15 Dis (Bernama) -- Bagi menghadapi segala kemungkinan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), anggota polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson menjalani latihan demonstrasi rusuhan di Lukut, Port Dickson.
Pemangku Ketua Polis Port Dickson DSP Mohd Faisal Mohd Noor berkata latihan selama dua hari yang bermula semalam, dilakukan bagi menunjukkan kesiapsiagaan penuh pihaknya menjelang PRU-14.
"Situasi rusuhan yang kita wujudkan di Jalan Dataran Segar, Lukut ini adalah berdasarkan kekecohan yang sebenar dan kita telah mengerahkan anggota untuk meredakan rusuhan ini juga dengan kekuatan yang sebenar.
"Rusuhan ini memang sengaja diadakan di tempat awam supaya orang ramai boleh melihat tahap kesiapsiagaan pihak polis menjelang PRU-14 dan juga ingin menguji kebolehan logistik serta sistem perhubungan pihak kami," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata untuk meleraikan demonstrasi rusuhan ini beliau telah mengerahkan beberapa pasukan polis antaranya Light Strike Force, Unit Kereta Peronda, Trafik dan Cawangan Khas.
Mohd Faisal berkata kronologi demonstrasi rusuhan itu ialah apabila parti yang kalah dalam pilihan raya telah menyerang parti yang menang sehingga menimbulkan kekecohan antara kedua-dua belah pihak.
"Dalam rusuhan tersebut kita telah menangkap tiga lelaki Melayu manakala yang lain dipercayai telah melarikan diri dan usaha pencarian masih diteruskan, " katanya
Beliau berkata latih amal itu meliputi semua elemen Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dari Bukit Aman hingga ke IPD serta pasukan bantuan yang akan dikerahkan pada waktu yang diperlukan.
Mengulas lanjut, Mohd Faisal berkata Latihan Amal PRU-14 ini membabitkan lima fasa utama latihan iaitu sebelum pembubaran Parlimen, penamaan calon, tempoh berkempen kemudian hari mengundi dan terakhir pengumuman keputusan pilihan raya.
-- BERNAMA