Senarai Calon MCA Johor Sudah Dihantar Kepada PM - Liow




Datuk Seri Liow Tiong Lai (tiga, kanan) bersama timbalannya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (tiga, kiri), Pengerusi MCA bahagian Pasir Gudang Datuk Tan Cher Puk (dua, kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan, dan Kepenggunaan Negeri Datuk Tee Siew Kiong pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat Tebrau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chih, Ulu Tiram, hari ini

JOHOR BAHRU, 16 Dis (Bernama) -- MCA Johor telah bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang dan telah mengenal pasti calon parti itu yang bakal bertanding di negeri itu, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata senarai calon MCA negeri sudah dihantar kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti itu menunggu pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri itu.

Antara calon yang dikenal pasti di negeri itu, katanya, ialah Naib Presiden MCA, Datuk Dr Hou Kok Chung yang bakal bertanding kerusi Parlimen Tebrau dan Datuk Tan Cher Puk bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya.

"Kita mahu menang kembali kerusi DUN Johor Jaya dan beliau (Tan) adalah orang yang paling layak. Walaupun tewas sebelum ini, beliau tetap terus memberi perkhidmatan terbaik untuk penduduk kawasan itu serta tidak menghiraukan tekanan daripada mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat Kawasan Parlimen Tebrau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chih di sini, hari ini.

Terdahulu, semasa berucap pada majlis itu, Liow, yang juga Menteri Pengangkutan, menempelak Pakatan Harapan kerana tidak mempunyai nilai teras dalam perjuangan mereka.

Ini berbeza dengan BN yang menjadikan empat komponen iaitu mementingkan kerjasama, mengutamakan rasa menghargai dan menghormati serta mewujudkan perpaduan dan keharmonian sebagai nilai teras perjuangan mereka, katanya.

Beliau berkata disebabkan Pakatan Harapan tidak mempunyai nilai teras, maka, ia disifatkan seperti hanya mahu mendahulukan kepentingan parti masing-masing.

Justeru, katanya, rakyat seharusnya tidak tertipu dengan dakyah Pakatan Harapan kerana mereka tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana.

-- BERNAMA