Usah Terpedaya 'Cakap-cakap Kosong' Pembangkang - MB Kedah
ALOR SETAR, 19 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mahu rakyat menilai dengan bijak dan tidak terpedaya 'cakap-cakap kosong' pembangkang yang sentiasa menentang dasar dan perancangan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata rakyat sekali lagi akan diberi kuasa memilih kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 akan datang dan perlu membuat pilihan yang tepat.
"Kerajaan hari ini telah melakukan bermacam-macam untuk rakyat apabila hendak masuk sekolah kerajaan bantu beri pakaian sekolah bersama-sama syarikat korporat, bila banjir, ribut dan kebakaran, kerajaan juga bantu.
"Ini tidak termasuk lagi projek-projek yang mewujudkan banyak peluang pekerjaan seperti Kulim Hi-Tech Park di Kulim, pembangunan Bandar Bebas Cukai serta pembesaran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam," katanya semasa berucap pada Program Kembali Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi kawasan Parlimen Alor Setar di Sekolah Kebangsaan Mergong di sini, hari ini.
Pada majlis itu seramai 200 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan sekitar kawasan Parlimen itu menerima bantuan persekolahan berupa pakaian sekolah, peralatan menulis, kasut dan beg sekolah yang disumbangkan TNB bagi meringankan beban ibu-bapa. Turut hadir Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan TNB Kedah Ismail Lathifi Teh.
Sehubungan itu, Ahmad Bashah meminta rakyat agar terus menyokong kerajaan sedia ada supaya matlamat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 berhasil.
"Depa (mereka (pembangkang)) mai (datang) lima tahun sekali buat segala janji-janji dan macam-macam lagi, sedangkan kami (UMNO) yang melaksanakannya.
"Jangan ditebang pokok yang lama (kerajaan sedia ada) yang menjadi tempat teduhan kita kerana pokok yang baharu belum tentu tumbuh dan rendang untuk tempat kita berteduh? kalau salah pilih ia akan merugikan masa depan generasi akan datang," katanya.
-- BERNAMA