Tidak Lari Bertanding Kerusi Selamat - Presiden Gerakan
TELUK INTAN, 21 Dis (Bernama) -- Anggota Parlimen Teluk Intan Datuk Seri Mah Siew Keong tidak akan sesekali lari bertanding bagi kerusi yang dianggap selamat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang jika dicalonkan.
Presiden parti Gerakan itu menegaskan bahawa beliau mahu terus menabur bakti dan khidmat di kawasan sekarang jika diberi peluang oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Katanya dakwaan segelintir penduduk tempatan bahawa beliau akan bertanding di kawasan Parlimen yang selamat bagi mengukuhkan statusnya selaku presiden Gerakan adalah tidak berasas sama sekali.
"Ada spekulasi mengatakan disebabkan kalah dua kali dalam PRU dan menang tipis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 2014 maka saya berkemungkinan lari ke tempat lain yang lebih selamat untuk kukuhkan kedudukan saya sebagai presiden Gerakan.
"Dakwaan ini tidak berasas sama sekali. Dulu kalah pun saya tidak lari, (jadi) apa sebab kalau menang tipis pun saya lari," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pada PRU12 tahun 2008, Mah kalah kepada calon DAP, M.Manogaran dengan majoriti 1,470 undi sebelum tewas sekali lagi pada PRU13 juga kepada calon DAP Seah Leong Peng dengan majoriti 7,313 undi.
Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kemudian memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan menerusi PRK pada Mei 2014 susulan kematian penyandangnya Seah akibat kanser.
Mah, anak jati Teluk Intan menang setelah menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan 238 majorit undi dalam pertandingan satu lawan satu.
Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRU14 nanti, Mah menyerahkan segala keputusan di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional.
Katanya kekalahan pada PRU12 dan PRU13 diterima dengan hati terbuka selain dijadikan pengajaran untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.
"Ia adalah pengalaman terbaik untuk saya tetapi cukuplah dua kali saya menerima pengalaman (kekalahan) berkenaan dan yang pasti saya tetap akan lakukan yang terbaik untuk rakyat di Teluk Intan," katanya yang memulakan kerjaya politik pada tahun 1995 dengan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar ketika itu.
-- BERNAMA