Pemuda UMNO Tawau Fokus Pengundi Muda Dan Atas Pagar
TAWAU, 30 Dis (Bernama) -- Pemuda UMNO Tawau menumpukan usahanya menarik undi generasi muda dan pemilih atas pagar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi memastikan kemenangan UMNO di kawasan itu.
Ketuanya Ariffin Kassim berkata untuk itu, sayap tersebut giat melibatkan golongan berkenaan dalam semua program UMNO.
"Ini juga antara hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya kita mendekati pengundi atas pagar yang dianggap sebagai 'pengundi boleh dipujuk' yang boleh menjadi penyumbang undi, di samping undi daripada generasi muda," katanya ketika ditemui pemberita selepas penganjuran gunting rambut percuma bersempena Program Kembali ke Sekolah anjuran sayap itu, di sini hari ini.
Katanya antara program yang diadakan ialah khidmat bakti masyarakat termasuk gunting rambut percuma tersebut.
"Januari nanti Pemuda UMNO akan mengadakan program pemeriksaan kesihatan rumah ke rumah dengan bantuan kolej kejururawatan di sini," katanya yang turut optimis cara itu dapat menyantuni generasi muda dan pengundi atas pagar untuk mendaftar sebagai pemilih.
Beliau berkata pada tahun ini pihaknya berjaya mendaftarkan kira-kira 3,200 pemilih baharu menjelang PRU akan datang.
-- BERNAMA