Baik Pulih 100 Rumah Oleh BN Di Bukit Gantang Siap Bulan Depan
BUKIT GANTANG, 31 Dis (Bernama) -- Sebanyak 100 buah rumah di sini yang dibaik pulih menerusi program Baik Pulih Rumah (Touch Point 2.0) peringkat ketiga dijangka siap menjelang pertengahan bulan depan.
Ketua UMNO Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata kos baik pulih bagi semua rumah tersebut yang merupakan sebahagian janji Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dianggar berjumlah RM1 juta.
"Setiap rumah yang telah dan sedang dibaik pulih itu membabitkan kos RM10,000 sebuah dan penerimanya dipilih melalui senarai daftar E-kasih dengan projek berkenaan dilaksanakan untuk membela nasib rakyat."
"Kesemua rumah berkenaan dibaik pulih secara gotong-royong dijangka siap sebelum 15 Jan tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program baik pulih rumah secara gotong-royong (Touch Point 2.0) 2017 Parlimen Bukit Gantang di Kampung Setia di sini, hari ini.
Syed Abu Hussin berkata sebanyak 170 buah lagi rumah akan dibaik pulih tahun depan dan pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
"Sebelum ini kita sudah melaksanakan beberapa projek Touch Point 1 serta 2 melalui GiatMara membabitkan hampir 200 buah rumah yang telah disiapkan," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pengundi, khususnya di Parlimen Bukit Gantang, supaya terus memberi sokongan kepada BN pada PRU14 akan datang bagi membolehkan lebih banyak projek rakyat dapat dilaksanakan.
Seorang penerima, Hasmah Khalid, 67, berkata dia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan masalahnya yang tidak dapat diselesaikan berikutan kekangan kewangan.
"Kalau hujan saya terpaksa letakkan besen untuk menakung air disebabkan atap yang bocor," katanya.
-- BERNAMA