Mahfuz Omar Umum Keluar PAS

Mahfuz Omar mengucapkan selamat tinggal kepada PAS - gambar Bernama
ALOR SETAR, 31 Dis (Bernama) -- Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengumumkan keluar daripada PAS berkuat kuasa tengah malam ini.
Mahfuz ketika bercakap kepada pemberita di sini berkata keputusannya untuk keluar daripada parti itu dibuat selepas mengambil kira PAS sukar bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selain memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR.
Beliau bagaimanapun belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini dan akan mengumumkannya sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.
"Saya ingin menyatakan kepada PAS dan semuanya bahawa hari ini saya akan hantar surat melalui e-mel kepada Setiausaha Agong PAS Datuk Takiyuddin Hassan, untuk saya nyatakan pemberhentian saya menurut Perlembagaan PAS fasal 12 (2) dan saya menjadi ahli Bebas buat masa ini
"Ini penutup tirai politik saya (bersama PAS) selepas menyertai PAS pada 12 Mac 1984," katanya yang menambah langkahnya itu akan disusuli oleh dua isteri dan anaknya dalam masa terdekat.
Mahfuz berkata tindakannya keluar daripada PAS bukan atas desakan mana-mana pihak atau menerima tawaran daripada pemimpin tertentu seperti yang ditularkan sebelum ini.
Sebaliknya kata beliau keputusan dibuat selepas melihat parti itu tidak mempunyai kesungguhan terhadap perjuangan rakyat dan merealisasikan apa yang dikehendaki rakyat sekalipun pelbagai pendekatan untuk menyelamatkan PAS dan pemikiran ahlinya dibuat.
Sementara itu, Mahfuz berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan PH selepas ini untuk menentukan di mana beliau akan bertanding.
Mahfuz menjadi anggota PAS selama 34 tahun dan berkhidmat sebagai wakil rakyat Parlimen Pokok Sena selama tiga penggal iaitu menerusi PRU 1999, 2008 dan 2013. Beliau tewas kepada calon Barisan Nasional pada PRU 2004.
Mahfuz pernah dipilih sebagai Naib Presiden PAS selain dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah pada 2013 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mengalami masalah kesihatan ketika itu.
-- BERNAMA