Mohamad Yakin BN Mampu Tawan Parlimen Seremban Pada PRU14
SEREMBAN, 3 Jan (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yakin BN mampu menawan semula kerusi Parlimen Seremban daripada DAP pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
"Ia kerusi yang perlu dimenangi menerusi gerak kerja yang baik dan strategi yang dapat meyakinkan pengundi. Parlimen Seremban boleh dikuasai semula oleh BN tapi MCA yang bertanding di kerusi itu perlu bekerja kuat," katanya.
Kerusi Parlimen Seremban mempunyai enam kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Lenggeng, Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat dan Ampangan. Lenggeng dan Ampangan dikuasai UMNO, Sikamat oleh PKR manakala Nilai, Lobak dan Temiang oleh
DAP.
Mohamad yang juga menteri besar dan pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata kerusi Parlimen Seremban dari segi sejarahnya pernah beralih tangan antara pembangkang dan BN . Kerusi itu yang diwujudkan pada 1974 kini dipegang oleh Anthony Loke Siew Fook daripada DAP.
"Jadi kita tak boleh kata Parlimen Seremban ini sebagai kawasan hitam yang tak boleh dimenangi BN. Kita perlu bekerja kuat dan MCA sudah umum calon bagi kerusi itu. Bercakap sahaja tidak boleh menang, perlu diterjemahkan dengan pelan tindakan.
"Saya yakin Parlimen Seremban boleh dirampas semula daripada pembangkang, tidak ada mustahilnya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Sabtu lepas, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan Ketua Pemudanya yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon sebagai calon BN di kerusi Parlimen Seremban pada PRU14.
Loke daripada DAP memenangi kerusi itu pada PRU13 dengan majoriti 12,553 undi menewaskan Datuk Dr Yeow Chai Thiam (kini mendiang) daripada BN dan tiga calon Bebas.
Ditanya berhubung langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) yang juga akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Mohamad yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata 'lebih ramai lebih meriah'.
"Negara kita negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh tubuhkan parti. Kita tidak menghalang sesiapa pun untuk bergiat dalam parti politik asalkan di atas landasan yang betul. Siapa yang nak menang kena kerja kuat. BN pun perlu kerja kuat kerana rakyat kini ada banyak pilihan, tak macam dulu.
"Jadi bila dah banyak pilihan, orang akan melihat parti mana yang mereka rasa boleh diletakkan harapan untuk mereka dan masa depan negara. Tapi saya harap orang ramai atau pengundi boleh membuat penilaian semasa pilihan raya," katanya.
Mohamad yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Rantau menasihatkan pengundi supaya membuat pertimbangan sebaik dan sewarasnya sebelum membuat keputusan dan tidak mengundi mengikut emosi.
"Ini kerana soal pilihan raya adalah untuk menubuhkan kerajaan dan memastikan masa depan negara dan negeri, bukan macam kita mengundi Akademi Fantasia (penyanyi diminati).
"Jadi fikir elok-elok, buat pertimbangan yang baik dan nilai parti mana yang harus kita bagikan tanggungjawab untuk mentadbir negara dan negeri. Jangan kita ikut emosi, perasaan kita dan mendengar cakap sana sini.
"Kita boleh berfikir sendiri dan berfikirlah sebaik dan sewaras mungkin untuk kita bagi undi dan tiada siapa tahu kita undi siapa," katanya.
-- BERNAMA