UMNO Melaka Buat Laporan Polis Terhadap Dr Mahathir
MELAKA, 5 Jan (Bernama) -- UMNO Melaka hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghasut rakyat untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui cara tidak demokratik.
Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zali Mat Yasin berkata laporan berkenaan dibuat agar siasatan dilakukan berhubung perkara berkenaan serta tindakan wajar diambil terhadap bekas perdana menteri itu.
"Hari ini kita membuat laporan polis berkaitan apa yang kita baca setiap hari di media sosial dan media massa berkaitan kenyataan Tun (Dr) Mahathir yang seolah-olah cuba menghasut rakyat menggulingkan kepimpinan perdana menteri kita.
"Baru-baru ini pun kita lihat dalam mesyuarat agung tahunan PPBM, Dr Mahathir dalam ucapannya terus menuduh kerajaan pimpinan perdana menteri (Najib) mengamalkan kleptokrasi," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Melaka Tengah di sini, hari ini.
Sebanyak enam bahagian UMNO di Melaka hari ini membuat laporan berkenaan termasuk Bahagian Kota Melaka yang diwakili Ketua Bahagiannya, Datuk Latiff Tamby Chik.
Mengulas lanjut Ketua Pemuda UMNO negeri itu juga berkata tindakan Dr Mahathir adalah salah kerana Malaysia sebuah negara demokrasi berperlembagaan, justeru tindakan menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik merupakan satu kesalahan yang tidak boleh diterima.
Beliau berkata perbuatan menghasut rakyat dengan tuduhan tidak berasas dikhuatiri bukan sahaja memberi kesan pada kestabilan politik negara tetapi turut memecahbelahkan keharmonian rakyat.
"Mungkin ada rakyat yang tidak faham tentang situasi politik negara dan isu sebenar yang berlaku dan apabila Tun (Dr) Mahathir bercakap tentang sesuatu mungkin ramai percaya kerana beliau telah menjadi perdana menteri selama 22 tahun," katanya.
-- BERNAMA