PRU14: Persediaan UMNO Sabah Di Tahap 'Gear Turbo'
SEMPORNA, 6 Jan (Bernama) -- Persediaan UMNO Sabah bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kini boleh diibaratkan di tahap 'gear turbo', kata Timbalan Ketua Penerangan UMNO negeri Datuk Ramlee Marahaban.
Beliau berkata momentum itu dipertingkatkan lagi dengan penganjuran pelbagai program membabitkan peringkat akar umbi dan rakyat.
"Misalnya, program bersama akar umbi termasuk ketua kampung dan ketua cawangan UMNO (di Semporna) pada hari ini turut kita selitkan ruangan pemberian bendera Barisan Nasional (BN) dan UMNO kepada ketua akar umbi sebagai penyuntik semangat berhadapan PRU14.
"Mereka ini adalah barisan hadapan BN yang akan memperluaskan semangat mengundi kepada rakyat," katanya.
Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bugaya berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan khas ketua cawangan UMNO Bahagian Semporna, ketua-ketua kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di sini, hari ini.
Berhubung dakwaan pembangkang yang melabelkan tindakan anggota parti pembangkang Parti Warisan Sabah (Warisan) keluar parti itu dan menyertai UMNO adalah sandiwara, Ramlee menegaskan dakwaan itu tidak berasas.
"Bekas anggota pembangkang yang kini bersama UMNO dilihat tampak bersemangat dan bersungguh bekerja untuk rakyat," katanya.
-- BERNAMA