Kerusi PRU14: Amanah Johor Boikot Konvensyen Pakatan Harapan 
SHAH ALAM, 7 Jan (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) Johor 'memboikot' Konvensyen Pakatan Harapan (PH) hari ini berikutan tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di negeri itu dalam kalangan gabungan parti pembangkang.
Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan berkata tindakan drastik itu diambil kerana parti itu hanya diberikan dua kerusi Parlimen untuk ditandingi berbanding lima yang diminta mereka.
"Amat tidak munasabah dan tidak adil untuk kami. Kami mempunyai ahli kedua paling ramai di seluruh negara (untuk Amanah) berbanding negeri lain malah wakil kami juga ramai di peringkat kepimpinan nasional. Kerana itu kami ambil keputusan untuk balik dan tinggalkan konvensyen ini," katanya sewaktu dihubungi Bernama.
Dilaporkan, kepimpinan tertinggi PH telah menetapkan untuk memberi dua dari lima kerusi Parlimen di Johor kepada Amanah untuk dipertandingkan.
Sementara itu, mengulas mengenai kekecohan tersebut, Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika ditemui berkata pihaknya akan berbincang lebih lanjut dengan Amanah Johor mengenai perkara itu.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum lagi menerima sebarang maklumat mengenai perkara berkenaan.
-- BERNAMA