Amanah Boikot Konvensyen Jejas Kewibawaan Pakatan Hadapi PRU

Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad (dua, kiri) ketika menyerahkan replika poster parti-parti yang bergabung dalam Gagasan Sejahtera kepada Pengerusi Protem Ikatan Negeri Johor Ahmad Zainudin Zulkefly (dua, kanan) sebagai gimik Pelancaran Gagasan Sejahtera Peringkat Negeri Johor di sebuah hotel malam tadi
JOHOR BAHRU, 8 Jan (Bernama) -- Tindakan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor memboikot Konvensyen Pakatan Harapan (PH) semalam kerana tidak puas hati dengan pembahagian kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di negeri ini, merupakan 'petanda awal' terhadap kewibawaan PH menghadapi pilihan raya itu.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata sehubungan itu, rakyat kini sudah boleh menilai bagaimana PH bakal mentadbir negara sekiranya memenangi PRU itu.
"Ini satu perkara yang mengejutkan. Sepatutnya ia (konvensyen) merupakan hari untuk mereka sama-sama berbincang tentang hala tuju PH tetapi tiba-tiba berlaku sebaliknya," kata beliau.
Idris diminta mengulas isu itu dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Gagasan Sejahtera Negeri Johor di sini, malam tadi.
Idris juga berkata beliau yakin ketidakpuasan hati itu tidak hanya berhenti setakat itu, malah bakal merencat gerak kerja dan mewujudkan perpecahan dalam kalangan PH, sekaligus memberi petanda bahawa ia tidak berwibawa untuk bertanding dalam PRU.
-- BERNAMA