Pemuda UMNO Semporna Pilih Dekati Rakyat Dari Hentam Lawan
SEMPORNA, 8 Jan (Bernama) --- Pergerakan Pemuda UMNO Semporna terus memilih untuk tidak menghentam parti lawan sebaliknya menggunakan pendekatan steady (istiqamah) bekerja mendekati rakyat khususnya golongan muda.
Pemangku Ketuanya, Marzuki Nasir berkata menyelami dan menyelesaikan isu melibatkan kepentingan serta keperluan generasi muda itu adalah utama dan lebih bertanggungjawab.
"Kita tidak mahu condemn orang (pihak lawan), kita lawan mereka tetapi dengan tampil menunjukkan fungsi dan sumbangan kita kepada masyarakat melalui program-program untuk rakyat."
"Ini (secara langsung) dapat menarik pengundi belia, pemilih atas pagar dan individu yang buta politik, untuk berfikir parti mana yang bekerja untuk rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Dalam pada itu, katanya berdepan dengan golongan muda dipengaruhi persepsi negatif pembangkang di media sosial, perkara itu cuba ditangani segera oleh jentera Pemuda dan Puteri yang sentiasa bergerak di lapangan.
Katanya, ketika ini terdapat lebih 21,000 pengundi muda di Semporna dan UMNO mahu golongan itu terlibat sama dalam soal kemasyarakatan.
Sementara itu, Marzuki berkata pihaknya dalam usaha memastikan semua 245 rumah penerima eKasih yang dibaik pulih dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini.
"Ketika ini, 80 peratus rumah telah siap dan bakinya dijangka siap hujung bulan ini," katanya.
Dalam pada itu, kira-kira 1,500 pelajar sekolah di Semporna menerima bantuan kelengkapan sekolah serta khidmat gunting rambut percuma anjuran Pemuda UMNO baru-baru ini,
-- BERNAMA